PORT DICKSON – Sebanyak 13,000 anak penyu berjaya dilepaskan di Pusat Penetasan Penyu Glory, di sini, sejak pusat berkenaan diwujudkan 13 tahun lalu.
Ranjer penyu yang juga mengetuai Kelab Pusat Penetasan Penyu Glory, Hishamudin Abdul Manaf berkata, bagaimanapun dari jumlah tersebut kebiasaannya hanya satu daripada 1,000 penyu yang dilepaskan berjaya hidup memandangkan risiko kematian bagi anak penyu ini agak tinggi.
Malah menurut beliau, semasa di laut pula, penyu berkenaan berisiko untuk mati disebabkan pencemaran plastik yang dibuat manusia kerana menyangkakan plastik tersebut merupakan makanan mereka iaitu obor-obor dan terdapat insiden seumpama itu di negeri ini.
“Tugas saya adalah memantau penyu mendarat dan memastikan kawasan penyu naik untuk bertelur tiada gangguan manusia ataupun menyelamatkan telur berkenaan dari ancaman binatang seperti anjing dan biawak.
“Kebiasaan sekitar 800 ke 1,500 biji telur setahun penyu bertelur di pantai di sini dari April hingga Disember. Pantai-pantai di sini yang kebiasaannya menjadi tempat penyu bertelur adalah di Glory, Tanjung Gemuk, Pantai Pejabat Daerah dan Bagan Pinang,” katanya kepada pemberita sempena Majlis Pelancaran Kelab Pusat Penetasan Penyu Glory dan Pelepasan Penyu, di sini, hari ini.
Sempena program berkenaan, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri Nicole Tan Lee Koon menyempurnakan simbolik pelepasan empat ekor penyu di mana dua ekor daripadanya merupakan penyu yang diselamatkan tersangkut di jaring nelayan.
Turut hadir, Timbalan Pengarah Perikanan negeri, Doreen Wee Siew Leen; Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Isaac Raj dan Pengarah Urusan Glory Beach Resort, Paul Yeong.
Dalam pada itu, Doreen berkata, hanya terdapat tiga pemungut telur penyu berdaftar atau ranjer penyu dan pihak Glory Beach Resort yang diberi kebenaran bersyarat menjalankan peranan konservasi atas tujuan pemuliharaan dua spesies penyu yang mendarat di pantai ini iaitu penyu agar dan karah. – KOSMO! ONLINE