LUMUT – Seorang lelaki yang disyaki membunuh abang dan kakak iparnya kerana berebut harta semalam, direman selama tujuh hari di Mahkamah Majistret Seri Manjung, hari ini.
Majistret T. Kavita membenarkan permohonan polis untuk mereman suspek yang berusia 61 tahun bermula hari ini sehingga 12 Mac ini bagi membantu polis menjalankan siasatan kes itu di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, warga emas berusia 61 tahun itu tiba di Mahkamah Seri Manjung kira-kira pukul 9.30 pagi dan kelihatan tenang ketika dibawa keluar dari trak polis.
Terdahulu, Kosmo! semalam melaporkan, pasangan suami isteri warga emas ditemui mati dalam sebuah kebun kelapa sawit di Pantai Remis, dekat sini, dipercayai dibunuh oleh ahli keluarga terdekat dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang.
Kedua-duanya yang berusia 74 tahun ditemui dalam keadaan cedera parah pada kepala dan muka dipercayai dilibas dengan sabit sawit. – KOSMO! ONLINE