PETALING JAYA – Seorang pelajar perempuan tidak dapat menahan rasa sedih apabila menerima hadiah telefon pintar selepas tamat menjawab Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) baru-baru ini.
Hadiah tersebut diberikan oleh bapanya sebagai hadiah selepas lebih 18 tahun anaknya gadisnya itu tidak pernah memiliki telefon pintar sendiri.
Menerusi video yang dimuat naik oleh bapanya menerusi akaun TikTok @profmas_positive, anaknya yang dikenali sebagai Nasuha itu menjerit kegembiraan apabila bapanya menunjukkan hadiah tersebut.
Nasuha kemudiannya tidak dapat menahan rasa sedih dan sebak kerana berasa terharu serta tidak percaya apabila akhirnya memiliki telefon pintar sendiri selepas tamat menjawab kertas terakhir SPM.
“Selama 18 tahun adik tunggu nak ada telefon sendiri. Adik pegang telefon sendiri, ini telefon adik. Adik dah besar, tak percaya ni adik punya,” kata Nasuha sambil menangis.
Sehingga kini video tersebut mendapat lebih 1.3 juta tontonan, 132,000 tanda suka dan 1,758 perkongsian.
Tinjauan Kosmo! di ruangan komen mendapati ramai yang terharu melihat kegembiraan Nasuha serta turut memuji cara ibu bapa mendidiknya untuk tidak mempunyai telefon pintar sehingga usia 18 tahun.
“Kebanyakan yang tak ada telefon sampai SPM ini kan selalunya mak ayah ikhlas nak berjayakan anak-anak. Tahniah semoga berjaya dunia akhirat,” komen Alifd.
“Saya tak cemburu ayahnya belikan telefon untuk dia, tapi cemburu cara ayahnya didik anak. Seronok sangat,” komen Wida.
“Lah ingatkan dah tak ada macam ni. Kebanyakan ramai dah ada telefon sendiri walaupun masih budak lagi. Memang tabik,” komen pengguna yang lain pula. – KOSMO! ONLINE
@profmas_positive Apabila Nasuha dapat h/phone sendiri selepas tamat SPM 🤣 #profmas #psikologi #psikologiindonesia #kesihatanmental #keibubapan #spm #foryoupage ♬ original sound – PROF MAS POSITIVE 💕🌷