KUALA LUMPUR – Kerajaan akan terus menawarkan program pemasangan sistem solar kepada pengguna untuk memperluaskan lagi penggunaannya agar kos pemasangan akan menjadi lebih mampu milik kepada semua rakyat Malaysia.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, perluasan pemasangan sistem solar ini mewujudkan ‘economies of scale’ yang mana kos purata bagi pemasangan sistem solar photovoltaic (PV) telah menurun secara signifikan.
“Kos tersebut sekitar RM12,000 hingga RM15,000 bagi sebuah rumah teres secara umumnya berbanding RM24,000 hingga RM30,000 pada tahun 2011.
“Atau bagi RM40,000 hingga RM50,000 bagi rumah Semi-D dan banglo berbanding RM80,000 hingga RM120,000 pada tahun 2011, iaitu penurunan kira-kira 50 peratus.
“Penurunan kos ini menjadikan pemasangan sistem solar yang sebelum ini hanya mampu dilakukan oleh golongan T20 pada awal pelaksanaan program Tenaga Boleh Baharu (TBB), kini juga boleh dilakukan oleh golongan M40,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, kerajaan telah memperkenalkan pelbagai program pembangunan TBB sejak tahun 2011 bagi meluaskan pemasangan sistem solar photovoltaic (PV), termasuk memanfaatkan ruang bumbung premis bangunan dan kediaman untuk pemasangan sistem solar PV.
“Antara program yang telah dilaksanakan termasuk Program Tarif Galakan (FiT), Program Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) dan Program Solar untuk Kegunaan Sendiri (SelCo).
“Sehingga kini lebih 16,000 pengguna domestik dengan jumlah kuota 120MW telah mendapat manfaat daripada Program NEM,” katanya.
Mengulas lanjut, Fadillah berkata, sehingga Disember 2023, sebanyak 235 syarikat telah berdaftar sebagai Registered Solar PV Investor (RPVI) dengan SEDA Malaysia.
Katanya, ini membolehkan syarikat tersebut menguruskan pemasangan serta pembiayaan sistem solar tersebut termasuk menawarkan pilihan kaedah pembayaran secara ansuran atau langganan kos modal sifar kepada pengguna untuk pemasangan sistem solar di rumah. – KOSMO! ONLINE