PETALING JAYA – Pengarah Muzik RTM, Datuk Mokhzani Ismail menyifatkan insiden nyanyian sumbang The Gadys dalam sebuah majlis anugerah siaran TV2 baru-baru ini sebagai iktibar.
Kata pemuzik dan komposer berpengalaman itu, sedikit sebanyak rakaman yang tular mengenai nyanyian The Gadys dapat membuka mata ramai.
“Tak payah nak kecoh sangat macam baru pertama kali dengar orang nyanyi sumbang, pandai-pandailah mereka pergi belajar (vokal).
“Agak-agak (dengar) sumbang, tutup saja telinga atau televisyen, sekali sekala biar terlepas, dapat juga didik telinga kamu semua.
“Sekurang-kurangnya ada juga sumbangan mereka. Jadi marilah kita ‘move on’ sambil ‘healing,” ujarnya lagi.
Mokhzani yang juga Ketua Juri Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL 38) turut menjelaskan RTM tiada kena-mengena dengan pemilihan artis program yang disertai kumpulan The Gadys sebagaimana dipersoalkan segelintir netizen.
Katanya, setakat yang dimaklumkan, RTM hanya penyiar majlis anugerah Anugerah KNKV Viral Award 2024 manakala urusan barisan penyanyi yang membuat persembahan termasuk The Gadys adalah pilihan penganjur.
Program tersebut juga merupakan acara luar tajaan penerbitan stesen milik kerajaan tersebut, sekali gus tiada pengarah muzik ditugaskan sepanjang acara berlangsung.
“Saya jawab setakat yang saya tahulah. Ramai sangat yang DM (mesej) saya tanya macam mana kumpulan The Gadys yang viral dengan lagu Cinta Sampai Ke Ethopia itu boleh terlepas dalam program televisyen.
“Sebenarnya itu program luar tajaan RTM, jadi penganjur yang cari barisan artis, tiada band, pemuzik atau pengarah muzik, cuma pakai minus one.
“Tapi sudah terlepas dan terkeluar berbunyi sumbang, nak buat macam mana,” katanya sebagai respons terhadap kemusykilan ramai mengenai kredibiliti RTM.
Sebelum ini, kumpulan wanita The Gadys berdepan kecaman netizen selepas nyanyian mereka kedengaran sumbang dalam program anugerah siaran TV2.
Ramai menyifatkan tahap nyanyian mereka seperti persembahan program sekolah ketika membawakan lagu medley termasuk Cinta Sampai Mati serta Gadis dan Bunga dalam Anugerah KNKV Viral Award 2024 yang berlangsung pada 21 Februari lalu.- KOSMO! ONLINE