SHAH ALAM – Penyanyi Syamel sentiasa berharap agar rumah tangganya dengan Ernie Zakri dipelihara daripada terpalit isu penyondol yang kerap kali membanjiri media sosial sejak kebelakangan ini.
Menurut Syamel atau nama penuhnya Syameel Aqmal Mohd. Fodzly, 31, isu penyondol adalah perkara sensitif untuk diperkatakan malah, turut memberi kesan terhadap emosinya setiap kali cerita sebegitu muncul dalam media sosial.
“Melihat semua yang berlaku, kami pun takut setiap kali keluar isu begitu sebab melibatkan lelaki dan perempuan.
“Jadi, kami sentiasa ambil pengajaran agar tak terjurumus ke arah itu. Apabila baca terus kami beringat dan berdoa benda yang baik-baik sahaja,” katanya kepada Kosmo! Online selepas Wacana Srikandi sempena Hari Wanita.
Sementara itu, Ernie atau nama penuhnya Nur Ernie Shahirah Zakri, 32, pula berkata, isu penyondol adalah perkara berat untuk diulas malah dirinya akan sentiasa di pihak wanita yang teraniaya.
“Bab sondol menyondol adalah satu perkara isu berat dan pastinya, saya akan menyebelahi wanita yang menjadi mangsa.
“Namun, saya tetap tak boleh nak ulas lanjut sebab tidak memahami situasi dan berada di tempat mereka,” katanya lagi.
Berkongsi lanjut, pelantun lagu Gundah itu berkata, pendiriannya untuk tidak mengulas hal tersebut kerana perkahwinan yang dibinia baru berusia tiga tahun dan masih terlalu banyak perkara harus dipelajarinya sebagai seorang isteri.
“Saya dan Syamel baru berkahwin selama tiga tahun, sebab itu tidak boleh komen isu sondol menyondol itu.
“Apapun, perkahwinan bukan setakat tentang komunikasi tetapi juga saling melengkapi.
“Kalau tidak pandai masak, usahalah. Tonton YouTube dan cuba. Jika suami suka masak lemak cili api, saya akan usaha untuk lakukannya,” ujarnya.
Terdahulu, seorang pemuzik dikenali Anwar Amzah mendakwa dirinya menjalinkan hubungan sulit dengan Ernie.
Ernie bagaimanapun menegaskan dakwaan tersebut mengarut dan dia juga sudah lama diganggu individu terbabit dalam media sosial.
Syamel dan Ernie mendirikan rumah tangga pada 26 Mac 2021 di Masjid Puncak Alam dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Nur Khawla Soleha kini berusia dua tahun. – KOSMO! ONLINE