KUALA LANGAT – Seorang lelaki maut selepas tertimbus dalam insiden tanah runtuh di sebuah lombong di Jalan Sungai Kelambu, Banting di sini, hari ini.
Mangsa berusia 38 tahun meninggal dunia di tempat kejadian akibat tertimbus sehingga paras dada.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, seramai enam anggota termasuk pegawai bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Banting bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pukul 12.34 tengah hari tadi.
“Pemeriksaan lanjut mendapati seorang lelaki tertimbus paras dada dalam tanah runtuh di lombong tersebut.
“Mangsa kemudian berjaya dibawa keluar oleh anggota bomba dalam tempoh 15 minit,” katanya hari ini.
Tambah beliau, lelaki itu kemudiannya disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan dan mayatnya dibawa ke hospital berdekatan. -KOSMO!ONLINE