MELAKA – Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mengedar dadah seberat 83.4 kilogram (kg) yang ditemui di dalam dua buah kereta, pada Februari lalu.
Tertuduh, Phua Cheong Ong, 49, hanya mengangguk faham dan tiada pengakuan direkodkan sejurus tiga pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nabilah Nizam.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 20,793 gram yang disenaraikan di Bahagian III Jadual Pertama Akta Dadah Berbahaya 1952 di dalam sebuah kereta jenis Toyota Camry.
Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh didakwa mengedar dadah masing-masing jenis methamphetamine seberat 31,161 gram dan 3,4-methylenedioxymethamphetamine (MDMA) 31,449 gram di dalam sebuah kereta jenis Toyota Vios.
Perbuatan itu dilakukan tertuduh kira-kira pukul 3.20 petang di tepi jalan KPKS 5, Kompleks Perniagaan Al-Azim, Kota Syahbandar, dalam daerah Melaka Tengah pada 21 Februari lalu.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan hendaklah, jika tidak dihukum mati, disebat dengan sebatan tidak kurang 12 sebatan mengikut Seksyen 39B(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama.
Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fiqri Hakim Zamri, manakala tertuduh diwakili Peguam Dzvuriyah Velayit Hussein.
Mahkamah kemudian menetapkan tarikh 25 April ini sebagai sebutan semula kes.
Kosmo! pada 23 Februari lalu melaporkan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan Pasukan Tindakan Khas berjaya menggagalkan cubaan sindiket untuk menyeludup keluar lebih 83 kg dadah syabu serta pil ekstasi dianggarkan bernilai RM4.02 juta ke Indonesia.
Serbuan hasil risikan dan pemantauan itu dilakukan di sekitar Melaka, Johor dan Pahang membabitkan tangkapan enam anggota sindiket termasuk seorang warga China bertaraf permastautin tetap.-KOSMO! ONLINE