SHAH ALAM – Kebolehpasaran wanita dalam pekerjaan terutama sektor perkhidmatan dipertingkatkan menerusi 14 buah pusat Laman Wanita (LaWa) di seluruh negara.
Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, antara kemahiran diajar adalah menjahit, membuat kraftangan, membuat kek dan kuih bagi membantu mereka meningkatkan pendapatan secara berkumpulan atau bersendirian.
Katanya, LaWa terbaharu dilancarkan adalah di Kota Bharu, Kelantan yang semua bagi pemerkasaan wanita.
“Justeru, kita seru golongan wanita yang masih tidak mempunyai pekerjaan dan pendapatan supaya ke pusat tersebut bagi mempelajari kemahiran yang telah disediakan itu,” katanya semasa perasmian Wacana Srikandi di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini, hari ini.
Nancy menegaskan kerajaan sentiasa menitikberatkan keperluan dan kesejahteraan wanita di negara ini yang sentiasa mahu berjaya dalam hidup mereka. -KOSMO!ONLINE