KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) bersedia memberi khidmat kaunseling kepada murid tahun tiga, Attar Azim Syukran Jamil, 9, yang kehilangan ibu bapa serta dua adiknya dalam nahas di Kilometer 76.5, Jalan Kota Bharu-Gua Musang dekat Kampung Pahi, Kuala Krai, Kelantan baru-baru ini.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya akan menyalurkan bantuan selayaknya selain menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Attar Azim.
“Di peringkat KPM, dari segi bantuan itu memang ada untuk semua pelajar yang menghadapi isu yang sama. Kita ada bantuan-bantuan yang akan diberikan termasuk bantuan psikososial,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Karnival Keusahawanan PERMATA Remaja di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Pantai di sini, hari ini.
Terdahulu, jenazah Syukran Jamil dan isterinya, Noor Aishah Razali, 35, bersama dua anak mereka, Ahya Rafiqi, 6, serta Lufya Adeena, 1, selamat dikebumikan di dalam satu liang lahad kira-kira jam 11 malam pada Ahad.
Dalam nahas kira-kira 1.40 tengah hari Sabtu lalu, Syukran Jamil bersama Noor Aishah dan Lufya Adeena disahkan maut di lokasi kejadian, manakala Ahya Rafiqi meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.
Bagaimanapun, Attar Azim terselamat dan hanya mengalami kecederaan ringan.
Kemalangan dipercayai berlaku apabila Perodua Myvi dipandu Syukran dari arah Kota Bharu menghala ke Gua Musang, bertembung dengan sebuah Nissan March dipandu warga Thailand yang masuk ke laluan dari arah bertentangan.
Lima sekeluarga itu dilaporkan dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur selepas menziarahi ahli keluarga dan bercuti di Kota Bharu, Kelantan.
Attar Azim kini dijaga oleh bapa saudaranya selepas anak yatim piatu itu kehilangan empat ahli keluarganya sekelip mata. – KOSMO! ONLINE