fbpx

Kaji kadar elaun, gaji anggota polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengakui gaji dan elaun sara hidup diterima anggota polis masih rendah, berbanding kos sara hidup di bandar besar.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata, sehubungan itu, kerajaan dan KDN sedang melaksanakan kajian sistem saraan perkhidmatan awam termasuk melibatkan anggota polis.

“Hal ini bagi menambah baik meliputi struktur gaji, elaun dan kemudahan. Jadi kajian ini merangkumi semua anggota di bawah KDN dan ia termasuk kajian Imbuhan Sara Hidup (COLA).

“Pada masa ini (COLA) mengikut lokasi penempatan pegawai pada kadar RM200 hingga RM350 sebulan. Kerajaan sedar kadar ini rendah berbanding kos sara hidup yang tinggi terutama di bandar besar seperti Kuala Lumpur dan Johor Bahru.

“Justeru, permohonan telah dibuat kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi menilai aspek ini,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) berhubung sama ada KDN membuat kajian semula bagi menilai kadar COLA melibatkan anggota polis yang pada masa ini masih relevan atau sebaliknya.

Shamsul Anuar berkata, gaji pokok diterima oleh seseorang anggota polis bukanlah satu amaun yang statik kerana KDN akan sentiasa mengkaji dan anggota akan menerima Pergerakan Gaji Tahunan apabila genap setiap tahun perkhidmatan, tertakluk kepada prestasi pegawai.

“Emolumen merangkumi gaji pokok, imbuhan tetap dan lain-lain elaun diberi berdasarkan penugasan, kepakaran dan risiko tugas yang jumlah keseluruhannya melebihi paras gaji minimum sebanyak RM1,500 yang ditetapkan oleh kerajaan,” katanya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI