LONDON – Bekas pemain Manchester United dan legenda England, Michael Owen percaya bahawa Marcus Rashford adalah individu yang harus dipersalahkan ketika Phil Foden berjaya meledak gol penyamaan pada aksi kelmarin.
Saingan derbi Manchester itu menyaksikan United menanggung kekalahan kedua berturut-turut apabila tewas 1-3 kepada Manchester City di Etihad sekali gus impian mereka untuk menamatkan saingan di kelompok empat teratas semakin kabur.
Selepas meledak gol pembukaan yang cukup sensasi menerusi rembatan dari jarak 20 meter, Rashford dikatakan menjadi punca City mendapat peluang menghasilkan gol penyamaan apabila meminta simpati pengadil dengan mendakwa dikasari Kyle Walker.
Pengadil yang tidak menghiraukannya meneruskan perlawanan menyebabkan City mendapat momentum terbaik membolehkan Foden melakukan gerakan sebelum melepaskan rembatan lencong menarik yang menerjah gawang United.
“Saya fikir pengadil tepat kerana tidak memberikan apa-apa. Saya tidak tahu mengapa Rashford meneruskan larian pada kedudukan itu. Dia sepatutnya mengawal bola dan membuat hantaran kepada rakan sepasukan lain pada situasi itu.
“Insiden itu menyebabkan United hilang penguasaan bola dan dia sengaja menjatuhkan badan. Dia juga mengambil masa yang lama untuk meneruskan permainan menyebabkan pertahanan United terancam dan akhirnya menerima padah,” katanya.
Owen juga mengakui kekasaran yang dilakukan penjaga gol City, Ederson terhadap Alejandro Garnacho juga tidak keterlaluan dan pengadil telah membuat keputusan tepat untuk tidak memberikan sepakan penalti. – AGENSI