GOMBAK – Percaya ada sinar dalam kegelapan, suami kepada penyanyi Adira Suhaimi iaitu Datuk Seri Adnan Abu yakin masih berpeluang menyelamatkan perkahwinan mereka daripada hancur di tengah jalan.
Ujar Adnan yang mesra disapa Datuk Red itu, dia percaya mempunyai masa untuk memujuk isterinya sebelum menjelang tarikh proses Hakam yang akan berlangsung pada 24 April depan.
“Apa yang saya lihat pada Adira, dalam hatinya masih ada lagi cinta untuk saya. Tapi mungkin perwatakan kali ini berbeza sebab kadang-kadang perempuan ini dah lebih had, matang dan ada usaha sendiri, jadi dia nampak berdikari.
“Saya cuba juga untuk memujuk dia sebab ada masa lagi sehingga April. Insya-Allah dapatlah kami beraya bersama.
“Kami juga masih sebumbung, dia juga yang gosokkan baju saya datang ke mahkamah. Sebab itu saya rasa berpeluang lagi, anak-anak pun sangat rapat dengan saya. Kalau Adira sibuk, saya yang menguruskan anak-anak,” katanya kepada Kosmo! Online.
Dalam pada itu, Adnan berkata dia masih menyayangi Adira dan menganggap ujian yang menimpa rumah tangganya sebagai balasan untuk dirinya.
“Saya kenal dia, orang lain tak nampak. Adik-beradik pun tak kenal rapat dengan dia. Saya dah dengan dia lapan tahun, gila lah kalau saya tak sayang dia lagi.
“Macam saya cakap sebelum ini, bukan dugaan tapi balasan.
“ Kadang-kadang kita jadi suami, sebenarnya macam ibarat lilin tapi saya macam duri pula. Semuanya demi anak-anak saya buat,” ujarnya.
Adnan berkata demikian sejurus selesai mendengar laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) yang berlangsung di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, semalam.
Bagaimanapun proses tersebut gagal menemui jalan penyelesaian dan mahkamah melanjutkan kepada proses Hakam yang akan berlangsung pada 24 April 2024.
Terdahulu, pada 25 Oktober tahun lalu, Adira telah memfailkan perceraian ke atas suaminya di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat Rawang, Selangor kerana tiada persefahaman.
Adira pernah memfailkan perceraian pada tahun 2019 namun menarik semula permohonan tersebut demi anak-anak.
Imbas kembali, Adira dan Datuk Red berkahwin di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015 sebagai isteri kedua.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Anggrek, 6, Asan, 5, Anggun, 4, dan Ayob yang kini berusia setahun.
Dalam pada itu, perkahwinan Datuk Red bersama isteri pertamanya iaitu Datin Red mempunyai lima orang cahaya mata. – KOSMO! ONLINE