BATU PAHAT – Keluarga kepada Mila Sharmila Shamsusah, 32, atau Bella melahirkan rasa syukur apabila baki rangka yang ditemui berhampiran lokasi kejadian bunuh ibu tunggal dua anak dipercayai milik wanita itu.
Perkara itu dimaklumkan kakak arwah Bella, Norhisham, 36, menerusi hantaran di laman sosial facebook miliknya.
“Alhamdulillah, separuh anggota (rangka arwah Bella) yang hilang telah dijumpai tetapi kami masih tunggu keputusan forensik.
“90 peratus rangka ditemui dipercayai milik Bella, mohon doakan supaya anggota lain dijumpai,” katanya.
Menurut Norhisham atau lebih mesra panggilan Ayu, dia dimaklumkan mengenai penemuan rangka itu oleh pihak polis.
Ujarnya, sebahagian rangka itu dijumpai tidak jauh dari lokasi penemuan rangka Bella di dalam rumah sewa terbengkalai di Kampung Batu 7, Tongkang Pechah di sini.
“Kami bersyukur kerana hasrat mencari sebahagian rangka itu ditemui. Kami sangat berharap kesemuanya akan ditemukan sekali gus membuatkan kami tenang,” katanya.
Pada 26 Januari lalu iaitu dua hari selepas pengebumian Bella, kakaknya mendedahkan mereka sekeluarga menitiskan air mata apabila mendapati jasad adik tersayangnya tanpa kedua-dua tangan dan kaki.
Kejadian itu disedari ketika Ayu dan ibunya, Noraini Salleh, 55, memandikan rangka tidak sempurna itu di Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru, selepas ujian asid deoksiribonukleik (DNA) mengesahkan milik Bella.
Norisham memberitahu, tengkorak adiknya pecah disyaki dihentak objek tumpul, selain hanya tinggal sebahagian anggota hingga paras pinggul.
Susulan itu, keluarga arwah Bella memaklumkan mereka sudah membuat surat permohonan kepada polis untuk mencari sebahagian rangka yang belum ditemui itu.
Pada 19 Januari lalu, penemuan rangka manusia tidak sempurna di dalam sebuah rumah terbiar di Tongkang Pechah di sini, merungkai misteri kehilangan Bella sejak 14 Disember tahun lalu.
Ibu tunggal kepada dua anak, Eusof Abdul Fatah, 4, dan Maream Isabel, 2, itu dilaporkan hilang selepas keluar bersama teman lelakinya.
Selepas 36 hari kehilangannya, rangka mangsa ditemui susulan penahanan teman lelaki Bella, Mohammad Haikal Mahfuz, 24, sejurus lelaki itu tiba di tanah air selepas menunaikan umrah.
Lelaki itu yang juga bekas posmen kemudiannya didakwa di Mahkamah Majistret Batu Pahat pada 24 Januari lalu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.-KOSMO! ONLINE