CAMERON HIGHLANDS – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar projek pembaikan cerun di penempatan Kampung Orang Asli Sg. Ruil dipercepatkan oleh pihak berkaitan.
Titah baginda, ia bagi membolehkan 17 keluarga yang terjejas akibat kejadian tanah runtuh pada 12 Oktober lalu tersebut dapat pulang ke kediaman masing-masing.
“Saya harap (projek pembaikan cerun) dapat dipercepatkan lagi usaha untuk membaikinya. Kalau saya tengok peruntukannya RM3.5 juta bukanlah besar sangat, saya tak tahu besar mana pembaikan ini akan dilakukan.
“Namun saya harap ia dipercepatkan supaya mereka semua boleh balik ke rumah asalnya, tetapi dalam pada itu kita harap pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan yang (melaksanakan kerja) baiki ini buat dengan sebaik mungkin. Tidak mahu cerun-cerun yang boleh runtuh,” titah baginda di sini hari ini.
Beliau bertitah demikian ketika berkenan mencemar duli ke persembahan taklimat mangsa kejadian cerun runtuh di Kampung Orang Asli Sg. Ruil di kuarters Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Tanah Rata di sini.
Media sebelum ini melaporkan seramai 17 keluarga Orang Asli dari kampung berkenaan yang terjejas akibat tanah runtuh akan ditempatkan di kuaters kerajaan dan badan berkanun berhampiran.
Kesemua 17 keluarga melibatkan 86 orang penduduk tersebut kini ditempatkan di kuarters TNB di Tanah Rata, dengan dua keluarga yang terdiri daripada adik-beradik berkongsi sebuah kediaman ekoran hanya 16 mempunyai kekosongan.
Projek pembaikan cerun berkenaan dijangka bermula pada Mei hadapan dan selesai pada November 2025.
Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah bertitah agar pemilik penempatan di perkampungan Orang Asli itu tidak sewenang-wenangnya menukar hak milik kediaman berkenaan yang disifatkan baginda antara yang termewah di seluruh Pahang.
“Dalam pada itu, di Cameron Highlands ini selalu juga tanah runtuh apabila musim banjir dan tengkujuh. Saya harap di mana ada cerun-cerun seperti di jalan juga perlu diambil kira untuk keselamatan pengguna,” titah baginda. – KOSMO! ONLINE