KUALA LUMPUR – “Saya penat dibandingkan dengan Ernie.”
Demikian luahan penyanyi Aina Abdul yang sering dijadikan bahan perbandingan dengan rakan baiknya, Ernie Zakri terutama selepas Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL38) hujung minggu lalu.
Aina atau nama lengkapnya Nurul Aina Abdul Ghani, 31, berkata, dia sedaya upaya membersihkan nama mereka berdua yang sering menjadi topik pertelingkahan peminat.
“Sudah tentu saya letih sebab saya cuba wujudkan persekitaran sihat dan menolak ideologi bahawa dua penyanyi wanita perlu bertanding sesama sendiri.
“Kita cuba nak bawa aura positif tetapi mulut segelintir netizen suka bercakap bukan-bukan. Saya rasa mereka bukan peminat sebenar,” katanya selepas pelancaran koleksi raya Amber X Anna Jobling, di sini semalam.
Selain itu, penerima anugerah Vokal Terbaik AJL38 itu menyifatkan kemenangan untuk tiga tahun berturut-turut dalam kategori sama bukan pencapaian yang membuatkan dirinya lebih hebat daripada Ernie.
“Peminat boleh marah atau banding-bandingkan kami tetapi dalam pertandingan saya perlu fokus kerana ada tanggungjawab perlu dipikul.
“Apabila saya meraih trofi, bukan bermaksud saya lebih baik, sebaliknya Ernie bagus dalam cara tersendiri. Kalau ada anugerah lain, dia layak memenanginya,” ujarnya lagi.
Dalam masa sama, pelantun lagu Jangan Mati Rasa Itu memuji nyanyian rakan baiknya itu ketika membawakan lagu Astana di pentas AJL38.
“Ernie memberikan persembahan terbaik dan sebagai kawan paling rapat dalam industri, saya tahu kepayahan serta semangatnya untuk bertanding walaupun berdepan ujian pada peringkat separuh akhir sebelum ini.
Ahad lalu, Aina mendapat tempat ketiga menerusi lagu Jangan Mati Rasa Itu, sekali gus membawa pulang wang tunai berjumlah RM 30,000 berserta trofi.
Dia juga dinobatkan sebagai penerima anugerah Vokal Terbaik dan Penyanyi Pilihan Alha Alfa yang masing-masing membawa pulang RM 12,000 dan trofi.
Bagaimanapun, nama Aina dan Ernie semakin panas apabila ada sebilangan pihak seolah-olah tidak berpuas hati dengan keputusan yang diraihnya pada malam penuh gemilang tersebut. – KOSMO! ONLINE