JOHOR BAHRU – Lima individu termasuk tiga pegawai imigresen ditahan kerana meminta dan menerima rasuah bagi menyeludup warga asing menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS), di sini.
Menurut sumber, kesemua suspek yang ditahan itu terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita berusia 35 hingga 46 tahun.
Tangkapan ke atas tiga pegawai imigresen dan dua orang awam itu dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor dengan kerjasama Unit Integriti Jabatan Imigresen (JIM) Johor.
Tiga pegawai imigresen yang bertugas di LTAS dan dua orang awam itu ditahan kira-kira pukul 5 petang hingga 11 malam semalam secara berasingan di Pejabat SPRM Johor dan di Larkin, Johor Bahru.
“Pasukan integriti JIM Johor membuat pemeriksaan berkala di LTAS dan memeriksa telefon bimbit pegawai yang bertugas. Pemeriksaan lanjut menjumpai beberapa bukti menerusi aplikasi WhatsApp.
“Ia berkaitan penawaran dan penerimaan wang rasuah daripada warga asing yang ingin memasuki Malaysia tanpa melalui proses dan prosedur yang betul mengikut Arahan Tetap Ketua Pengarah Imigresen Bil. 03 Tahun 2019 dan Akta Imigresn 1956/63,” kata sumber tersebut.
Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias memberitahu kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.-KOSMO! ONLINE