PUTRAJAYA- Sebanyak 10 agensi Persekutuan mempunyai baki pinjaman tertinggi berjumlah RM122.388 bilion.
Menurut kenyataan akhbar dikeluarkan Ketua Audit Negara, sebanyak empat daripada 10 agensi tersebut mempunyai baki pinjaman daripada kerajaan Persekutuan berjumlah RM5.338 bilion.
“Manakala tiga daripada empat agensi Persekutuan terbabit telah menjadualkan semula tempoh bayaran balik pinjaman.
“Selain itu, 80 agensi Persekutuan mencatatkan lebihan semasa berjumlah RM54.677 bilion, manakala 50 lagi agensi merekodkan kurangan semasa berjumlah RM4.570 bilion,” katanya di sini tadi.
Terdahulu, Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Penyata Kewangan Agensi Persekutuan Tahun 2022 telah dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Mengulas lanjut, katanya, 126 agensi Persekutuan mempunyai jumlah aset lebih tinggi berbanding jumlah liabiliti manakala empat agensi menunjukkan jumlah liabiliti lebih tinggi berbanding jumlah aset.
“86 agensi menerima geran mengurus dan pembangunan daripada kerajaan Persekutuan berjumlah RM27.034 bilion, manakala 83 agensi mempunyai baki geran pembangunan terkumpul yang belum dilunaskan berjumlah RM25.535 bilion,” jelasnya.
Kata kenyataan itu lagi, 53 agensi mempunyai 234 syarikat subsidiari dengan nilai pelaburan berjumlah RM56.128 bilion.
“Daripada jumlah tersebut, 212 syarikat subsidiari berstatus aktif, manakala 22 syarikat subsidiari berstatus dorman.
“Selain itu, 121 syarikat subsidiari mencatatkan keuntungan, manakala 91 syarikat subsidiari mengalami kerugian.
“Hanya 66 daripada 212 syarikat subsidiari yang aktif telah membayar dividen kepada agensi Persekutuan sejumlah RM1.910 bilion pada tahun 2022,” katanya. -KOSMO! ONLINE