KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menarik balik usul menggantung Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama enam bulan.
Keputusan itu diambil selepas Wan Saiful membuat permohonan maaf di Dewan Rakyat atas kenyataannya minggu lalu yang mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyalahgunakan kuasa.
Beliau turut mengakui terkilaf dan memohon maaf jika kenyataan yang dikeluarkannya sebelum ini turut menyentuh Yang di-Pertuan Agong ketika diberi ruang memberi penjelasan sebelum usul berkenaan dibacakan.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul sewaktu mengulas perkara itu berkata, beliau menerima permohonan maaf tersebut dan menganggap perkara itu telah selesai.
“Ini bermaksud Yang Berhormat (Tasek Gelugor) sudah memohon maaf kepada Tambun (Anwar) dan menarik balik kenyataan itu. Yang Berhormat juga memohon ampun kepada Yang di-Pertuan Agong.
“Permohonan maaf sudah dibuat. Ini episod yang sudah berlalu dan Ahli Parlimen kiri (blok pembangkang) dan kanan (blok kerajaan) ‘move’ ke depan. Kita tutup kes ini,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, beliau menghargai keputusan penarikan usul itu dan berterima atas tindakan Johari dalam menyelesaikan isu tersebut dengan baik.
Datuk Mohd. Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) pula meminta supaya tindakan yang dibuat Wan Saiful dijadikan pengajaran dan iktibar oleh semua Ahli Parlimen.
Wan Saiful ketika perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja minggu lalu mendakwa Perdana Menteri telah menyalahgunakan kuasanya dan dakwaan itu menyebabkan kekecohan dalam Dewan Rakyat. – KOSMO! ONLINE