GEORGE TOWN – Lembaga Tabung Haji (TH) dan mutawif umrah serta haji disarankan supaya menjelaskan mengenai hukum mengusap atau mengucup hajarulaswad kepada para jemaah masing-masing sebelum mereka berangkat ke Tanah Suci.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor berkata, perkara itu perlu dijelaskan kepada para jemaah demi memastikan kesempurnaan ibadat yang dikerjakan di sana.
“Perlu diketahui bahawa hukum mengusap atau mengucup hajarulaswad hanyalah sunat.
“Ini bukan syarat sahnya tawaf untuk ibadat haji atau umrah. Perbuatan ini juga bukan rukun haji atau umrah yang wajib ke atas seorang yang menunaikan ibadat haji atau umrah.
“Maka adalah wajib ke atas mereka yang menunaikan ibadat haji atau umrah supaya memelihara kehormatan Baitullah serta tidak menyakiti mana-mana manusia di tempat suci itu,” katanya di sini, hari ini.
Sebelum ini, tular di media sosial video seorang usahawan lelaki yang juga pempengaruh media sosial berhimpit dalam kesesakan orang ramai di hadapan Kaabah bagi memastikan pasukannya berpeluang mencium Hajarul Aswad ketika mengerjakan umrah.
Video tersebut menimbulkan pelbagai reaksi dengan rata-ratanya mempersoalkan kewajaran lelaki itu terberbuat demikian. – KOSMO! ONLINE