MUNICH – Jurulatih Bayern Munich, Thomas Tuchel berdepan kemungkinan dipecat serta-merta sekiranya gagal mencatat kemenangan ke atas Lazio pada aksi timbal balik pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara di Allianz Arena awal pagi esok.
Spekulasi itu tercetus apabila Bayern semakin jauh ketinggalan dengan Bayer Leverkusen dalam perebutan takhta Bundesliga selepas mereka sekadar mencatat keputusan seri 2-2 menentang SC Freiburg Sabtu lalu.
Justeru, Tuchel dianggap berdepan cukup getir memandangkan Lazio memiliki kelebihan satu gol pada pertemuan awal pagi esok selepas mereka mencatat kemenangan 1-0 pada perlawanan pertama bulan lalu.
Bagaimanapun, bekas pengurus Chelsea itu mengakui sudah bersedia ditunjukkan jalan keluar apabila mendedahkan sudah pun mengemaskan segala barangan peribadinya untuk meninggalkan pasukan sekiranya dipecat.
“Sebenarnya, saya sudah pun bersiap sedia dengan menyimpan semua barangan saya. Ia berada dalam beg aluminium dan saya bersedia untuk berdepan sebarang kemungkinan,” katanya mengenai gambaran dia mungkin dipecat.
Sebelum ini, Bayern sudah mengesahkan mereka akan melepaskan Tuchel sebaik sahaja saingan musim ini berakhir, namun situasi itu dijangka berubah sekiranya mereka gagal melangkah ke suku akhir Liga Juara-Juara.
Difahamkan, skuad The Bavarians itu menjadikan jurulatih Leverkusen, Xabi Alonso sebagai pilihan utama bagi menggantikan Tuchel, namun mereka perlu berdepan persaingan daripada pasukan lain termasuk Liverpool. – AGENSI