fbpx

Struktur gaji baharu penjawat awam diumum semasa Belanjawan 2025

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Keputusan berkenaan struktur gaji baharu penjawat awam dijangka akan diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2025 tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr. Zaliha Mustafa berkata, penambahbaikan itu salah satu fokus dalam pemerkasaan modal insan perkhidmatan awam.

“Cadangan penambahbaikan struktur gaji penjawat awam dijangka dibentangkan kepada Jemaah Menteri selewat-lewatnya awal suku kedua tahun ini untuk kelulusan.

“Keputusan berkenaan struktur gaji baharu penjawat awam ini dijangka boleh diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2025,” katanya dalam jawapan bertulis kepada Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan beberapa Ahli Parlimen berhubung isu pemansuhan skim pencen serta lantikan baharu kakitangan kerajaan di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Dalam pada itu, Zaliha berkata, pelantikan pegawai kerajaan di bawah kaedah baharu akan turut berstatus ‘pegawai awam’ dan tertakluk semua perundangan dan peraturan berkaitan.

Menurut beliau, pegawai kerajaan baharu akan menerima gaji, elaun dan kemudahan yang sama seperti dinikmati pegawai lantikan tetap dan berpencen sedia ada.

“Pelaksanaan kaedah baharu pelantikan tetap tidak akan menjejaskan aspek pengambilan dan pengekalan kakitangan dalam perkhidmatan awam.

“Ia akan dipastikan berupaya menarik bakat terbaik negara untuk berkhidmat termasuk dalam sektor kritikal seperti sektor keselamatan, kesihatan dan pendidikan,” katanya.

Justeru, beliau memberi jaminan, sistem saraan baharu yang akan diperkenal kelak akan dipastikan tidak merugikan penjawat awam lantikan baharu,

Selain itu, beliau menerangkan, tanggungan pencen memberi implikasi kewangan semakin besar kepada kerajaan setiap tahun.

Katanya, keputusan untuk mengkaji sistem saraan baharu bertujuan mengoptimumkan pengambilan dan pengisian jawatan dalam perkhidmatan awam melalui kaedah lantikan baharu.

“Pada 2023, jumlah perbelanjaan pencen adalah RM32.01 bilion dan dijangka mencecah RM46.36 bilion pada 2030.

“Secara purata, unjuran kenaikan jumlah bayaran pencen adalah hampir RM2 bilion setahun dan akan semakin meningkat dari tahun ke tahun,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI