KAJANG – Seorang wanita maut manakala dua lagi parah selepas kereta Honda HRV yang dinaiki hilang kawalan sebelum terbabas hingga terbalik di hadapan sebuah kedai serbaneka di Bandar Tun Hussein Onn, pagi tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian itu pada pukul 5.13 pagi tadi.
Katanya, dua buah jentera dan beberapa anggota keluaran Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Tun Hussein Onn (BTHO) dikerahkan ke lokasi kejadian susulan laporan tersebut.
“Setibanya di lokasi, didapati sebuah kereta jenis Honda HRV hilang kawalan dan terbabas membabitkan tiga mangsa wanita warga tempatan berusia 46, 47 dan 50 tahun.
“Salah seorang mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala dua lagi mengalami cedera parah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Mukhlis, mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut manakala dua mangsa yang parah dibawa ke hospital berdekatan oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan selanjutnya,” katanya. – KOSMO! ONLINE