KUALA LUMPUR – Laluan beregu lelaki profesional negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024 makin berliku selepas tersingkir di pusingan pertama pada Kejohanan Badminton Terbuka Perancis hari ini.
Pada perlawanan yang berlangsung di Porte de La Chapelle Arena, Paris, beregu yang menghuni ranking ke-12 dunia itu akur dengan kekalahan 13-21, 22-24 kepada pilihan utama dari India, Chirag Shetty-Satwiksairaj Rankireddy.
Kekalahan itu sekali gus menyaksikan Ee Yi-Yew Sin tidak memiliki cara lain selain menjuarai kesemua baki kejohanan yang disertai sebelum saingan kelayakan Olimpik berakhir hujung April depan.
Justeru, mereka perlu menyasarkan gelaran juara pada kejohanan Seluruh England bermula 12 hingga 17 Mac ini, Terbuka Switzerland (19 hingga 24 Mac) serta Sepanyol Masters (26 hingga 31 Mac).
Dalam pada itu, mereka juga dijadualkan menyertai Kejohanan Badminton Asia (BAC) pada 9 hingga 14 April depan yang menjadi aksi terakhir sebelum saingan kelayakan melabuhkan tirainya.
Berdasarkan kedudukan semasa, Ee Yi-Yew Sin berada di ranking ke-13 saingan kelayakan Olimpik dan mereka perlu berada dalam kelompok lapan teratas untuk melayakkan diri ke temasya sukan terbesar dunia itu.
Pada ketika ini, hanya beregu lelaki No.1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dilihat hampir pasti untuk melayakkan diri dalam acara tersebut apabila berada di ranking kelima kelayakan.
Berdasarkan peraturan ditetapkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF), setiap negara boleh menghantar dua wakil dalam acara beregu sekiranya menamatkan saingan kelayakan dalam kelompok lapan teratas. – KOSMO! ONLINE