fbpx

Masih wujud prasangka TVET pilihan kedua, ketiga – Ahmad Zahid 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Masih terdapat prasangka dalam kalangan masyarakat yang menganggap program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) sebagai pilihan kedua atau ketiga dalam bidang pendidikan.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pelbagai usaha untuk mempromosikan TVET sebagai pilihan utama telah dilakukan oleh kerajaan.

“Memang benar terdapat prasangka TVET dianggap sebagai pilihan kedua atau ketiga. Majlis TVET Negara yang saya pengerusikan dan juga sekretariat TVET telah berusaha dengan keras untuk menyelaraskan 1,345 TVET yang berada di bawah 12 kementerian.

“Promosi TVET sebagai pilihan pertama telah dilakukan dengan beberapa pendekatan. Pertamanya kita menuruti kepada penceritaan kejayaan beberapa individu dan tokoh dalam bidang TVET.

“Kedua, kolaborasi dengan industri besar. Latihan dalam pekerjaan diwujudkan dimana 60 peratus pengajian di industri dan hanya 40 peratus di dewan-dewan kuliah. Ketiga, melakukan strategi pengintegrasian terutama program berkaitan Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0) serta berteknologi tinggi,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (BN-Pekan) berhubung usaha berterusan kerajaan untuk mempromosikan TVET sebagai pilihan utama pendidikan dan kerjaya.

Menjawab soalan Halimah Ali (PN-Kapar) sama ada kerajaan merancang untuk mewujudkan akta gaji khusus untuk TVET, Ahmad Zahid memaklumkan perkara memang berada dalam kerangka Majlis TVET Negara.

“Pertama, kita akan melancarkan Dasar TVET Negara pada 2 Jun tahun ini disamping kita juga akan mewujudkan hanya sebuah pusat pengiktirafan kepada TVET supaya tidak timbul kekeliruan daripada segi pengiktirafan.

“Kedua, daripada segi gaji terdapat saranan agar gaji premium bukan berdasarkan gaji minimum, tapi satu tahap lebih tinggi yang dicadangkan iaitu RM4,000 ke atas. ini secara tidak langsung akan menggalakkan pelajar masuk ke institusi TVET.

“Selanjutnya TVET dimulakan selepas tingkatan 3. Mereka akan dapat mengambil diploma dan juga ijazah dua tahun lebih awal dari rakan-rakan lain,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menerangkan, TVET memberi peluang kepada pelajar yang kurang cemerlang dalam bidang akademik untuk memperoleh ijazah atau kelayakan yang lebih tinggi.

“Dalam soal gaji, Insya-Allah gaji premium jika ada dokongan semua pihak, soal akta atau soal peraturan baharu, perbincangan dengan Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) umpamanya untuk tingkatkan gaji premium lepasan TVET,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI