LANGKAWI – Seorang lelaki warga Amerika Syarikat dituduh di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menghasilkan bahan penganiayaan seksual terhadap seorang kanak-kanak perempuan, bulan lalu.
Tertuduh, David Matthew Frahm, 46, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Helmi Ghani.
Dia didakwa melakukan perbuatan tersebut di sebuah rumah di Kuah, di sini kira-kira pukul 3.30 petang, 1 Februari lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 5 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun penjara dan enam sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Farhan Aliff Ahmad, sementara tertuduh diwakili peguam, Cheow Wee dan Alvin Lee.
Sementara itu, tertuduh turut dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini di bawah Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15(4) akta sama.
Dia didakwa telah tinggal di negara ini lebih masa yang ditetapkan iaitu selama 1,380 hari.
Tertuduh membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya itu dibacakan di hadapan Majistret, Natasha Rizal.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 6 Mei depan. – KOSMO! ONLINE