PETALING JAYA – Pandai menguruskan wang dengan baik dan tidak berbelanja mengikut kehendak adalah tips berkesan bagi memastikan simpanan yang ada cukup untuk kesenangan pada hari tua serta hal-hal kecemasan.
Menerusi perkongsian pemilik akaun Facebook, Nur Fadhli Bassar, dia berkongsikan kisah seorang lelaki berusia 45 tahun yang mempunyai simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) lebih RM1 juta.
Katanya, lelaki tersebut merupakan kenalannya yang bekerja dalam sektor teknologi maklumat di ibu negara dan telah berkahwin serta mempunyai anak.
“Dia pergi balik kerja naik motosikal sahaja sebab tak nak ‘sangkut’ dalam kesesakan. Tamat belajar umur 23 terus kerja dan macam orang lain juga ada keluarkan duit dari Akaun 2 untuk beli rumah.
“Macam mana dia boleh kumpul sejuta dalam KWSP? Pertama, mesti ada kerja yang stabil dan gaji yang cukup.
“Kedua, kena mencarum dalam KWSP lah. Dia carum 11 peratus kemudian naikkan ke 12 peratus dan 13 peratus. Majikan dia pun mencarum juga. Berapa peratus aku tak tahu,” katanya.
Tambah Nur Fadhli, kenalannya itu bijak dalam menguruskan simpanan, meskipun pernah terkesan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dahulu, dia masih mampu meneruskan kehidupan bersama keluarga tanpa mengeluarkan wang KWSP.
“Tengok masa PKP dahulu berapa ramai terkesan, dia masih tidak terkesan, maka aku beranggapan dia ada simpanan kecemasan yang cukup.
“Keempat, dia tingkatkan caruman dengan cara tinggikan gaji dengan cara ‘job hopping’ (boleh minta gaji lebih tinggi daripada majikan baharu). Dia dah tukar majikan lapan kali.
“Kelima, dia bayar zakat (wajib dan untuk cari keberkatan). Bila berkat, Tuhan tambah lagi dan aku rasa dia ada juga buat projek sedekah jariah yang lain,” jelasnya.
Katanya, jika lelaki tersebut konsisten dengan cara pengurusan simpananya, sudah pasti dia mampu berpencen dengan pendapatan bulanan yang selesa.
“KWSP bagi dividen 5.4 peratus untuk 2023 dan dia dapat RM54,154. Kalau dia dah pencen, maknanya tahun ini boleh belanja RM4,512 sebulan. Makan duit dividen sahaja, duit pokok sejuta tu tak payah usik pun tenang hidup.
“Ini baru umur 45, kalau dia pencen umur 60, boleh cecah lebih RM2 juta dalam KWSP dia, ada harapan merasa pencen RM10,000 sebulan dan duit pokok RM2 juta tu tak luak langsung,” katanya. – KOSMO! ONLINE