fbpx

Laut China Selatan agenda Sidang ASEAN-Australia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENNY WONG (kanan) dan Menteri Luar Filipina, Enrique Manalo berjabat tangan menjelang pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN-Australia di Melbourne semalam. – AFP

MELBOURNE – Barisan pe­mimpin Asia Tenggara dan Australia berkumpul di Melbourne semalam dan dijangka meluluskan draf resolusi mengecam ‘ancaman atau penggunaan kekerasan’ bagi menyelesaikan pertikaian di rantau berkenaan dalam tindakan kolektif yang mungkin membangkitkan kemarahan China.

“Kita berusaha untuk mencapai sebuah rantau di mana sebarang pertikaian ditangani menerusi dialog dalam tatacara saling hormat menghormati dan bukannya ancaman atau pun penggunaan kekerasan,” demikian menurut draf kenyataan bersama ASEAN-Australia yang diperoleh AFP.

Pendirian agresif Beijing di Laut China Selatan dijangka menjadi agenda utama Sidang Kemuncak Khas Asean-Australia 2024 selama tiga hari di Melbourne.

Pertikaian berkaitan Laut China Selatan yang merupakan koridor perdagangan utama, semakin meruncing sejak beberapa bulan kebelakangan ini apabila China menunjukkan taringnya di kawasan yang turut dituntut oleh negara anggota ASEAN seperti Filipina dan Vietnam.

“Kita semua mempunyai tanggungjawab membentuk rantau yang ingin kita kongsi supaya aman, stabil dan makmur.

“(Bagaimanapun) Kita berdepan tindakan yang menjejaskan kestabilan, provokatif dan paksaan termasuk kelakuan tidak selamat di laut serta di udara dan penggunaan ketente­raan dalam pertikaian,” kata Menteri Luar Australia, Penny Wong

Sidang itu juga dijangka memberi tumpuan kepada kerjasama ekonomi ketika negara seperti Filipina dan Australia berusaha untuk melindungi ekonomi mereka daripada tindakan balas China.

Menteri Luar Filipina, Enrique Manalo memberitahu AFP bahawa daya tahan ekonomi adalah penting dalam memastikan ke­selamatan dan kedaulatan negara dapat ditegakkan.

Sebagai usaha ke arah itu, katanya, Filipina berharap untuk melancarkan rundingan perjanjian perdagangan bebas rasmi dengan Kesatuan Eropah ‘tidak lama lagi’.

Filipina memberi tumpuan untuk mewujudkan ‘keselamatan’ ekonomi yang lebih besar dan lebih berdaya tahan.

Usaha ini seterusnya me­nyumbang kepada keselamatan negara anda sendiri, kata Manalo.

“Sasaran kami adalah daya tahan ekonomi yang lebih kukuh,” kata menteri itu sambil menekankan kepentingan untuk menyesuaikan diri dengan ‘perubahan mendadak’ sama ada berpunca daripada tangan manusia atau alam semula jadi.

Isu lain yang menjadi tum­puan sidang khas tersebut ialah perubahan iklim.

Keperluan besar tenaga Asia Tenggara sebahagian besar­nya dijana oleh bahan api fosil, manakala Australia kekal antara pengeksport gas dan arang batu terbesar di dunia yang menyumbang kepada pencemaran alam sekitar.

Namun, kedua-dua rantau semakin bersemangat untuk beralih ke arah tenaga boleh diperbaharui dan memanfaatkan sepenuhnya anugerah alam semula jadi seperti deposit mineral kritikal utama.

“Negara-negara ASEAN memerlukan lebih banyak tenaga sekiranya mereka terus membangunkan ekonomi masing-masing,” kata penganalisis serantau bersama Institut Lowy Australia, Rahman Yaacob.

“Australia boleh menjadi sumber tenaga kepada ASEAN,” tambahnya.

Indonesia dan Filipina adalah dua negara pengeluar nikel antara terbesar di dunia. Logam itu adalah bahan utama pengeluaran bateri untuk kereta elektrik.

Satu lagi logam utama dalam pembuatan bateri ialah litium dan ditemui dalam kuantiti yang banyak di serata Australia.

Jakarta dan Canberra juga telah mula meneroka bagaimana kedua-dua pihak boleh menggabungkan kelebihan ini untuk meningkatkan pengeluaran kenderaan elektrik. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI