KOTA BHARU – Kerajaan Kelantan menggesa Kerajaan Persekutuan melaksanakan langkah-langkah memperkasakan bidang kuasa Mahkamah Syariah di negara ini seperti pernah dilaksanakan pada Jun 1998 yang lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Mohd. Asri Mat Daud berkata, pindaan Perlembagaan Persekutuan telah dilaksanakan pada tahun berkenaan melibatkan Perkara 121 (1A).
Menurutnya, ia sekali gus telah memberikan nafas baharu kepada Mahkamah Syariah apabila institusi itu boleh melaksanakan semua undang-undang atau peraturan di bawah bidang kuasanya yang tiada dalam Persekutuan.
“Selepas berlaku pindaan itu, baru kita dapat melaksanakan undang-undang syariah dengan baik dan menetapkan hukuman-hukuman yang telah ada dalam syarak.
“Jadi, saya berharap pihak legislatif memberi ruang kepada proses pindaan tersebut untuk dilakukan selepas ini,” katanya ketika menjawab soalan Dr. Hafidzah Mustakim (Kota Lama – PH) pada Persidangan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan Yang Ke-15, Tahun 2024 di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.
Mohd. Asri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demit memberitahu, kerajaan negeri Kelantan kesal dan sedih apabila seorang individu Islam membuat cabaran terhadap seksyen-seksyen Enakmen Jenayah Syariah Kelantan.
“Seksyen-seksyen itu sudah baik. Ia telah dibincangkan, diluluskan di dewan yang mulia ini malah sudah mendapat perkenan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V selain telah dilaksanakan selama setahun di negeri ini.
“Kita belum bercakap mengenai hukum hudud dan qisas iaitu enakmennya sudah lengkap di Kelantan dan dilaksanakan. Ia sudsy terbatal disebabkan cabaran oleh mereka yang tiada ‘locus standi’. Ini satu perkara menyedihkan untuk kita,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE