TIDAK ramai mengetahui aktres Bollywood popular, Katrina Kaif rupa-rupanya kurang fasih berbahasa Hindi. Atas sebab itu, dia harus menggunakan suara orang lain pada awal kemunculan sekitar 2003.
Ketika muncul buat kali pertama di layar perak menerusi filem Boom, bintang kelahiran Hong Kong itu masih tinggal di London meneruskan kerjaya peragaan.
Menurutnya, pujukan Kaizad Gustad agar menerima lamaran kembali ke India beraksi dalam filem lakonan Amitabh Bachchan serta Zeenat Aman itu mencairkan hatinya.
Selepas membintangi beberapa filem, dia masih memerlukan bantuan suara pelakon lain, namun perkara tersebut hanya didedahkan baru-baru ini.
Biarpun kini sudah mahir dan mampu menguasai bahasa Hindi dengan baik, masih ada segelintir individu yang mendakwanya menyombong sehingga enggan menggunakan bahasa ibunda.
Tegas aktres berusia 40 tahun itu, tiada isu berlagak atau malu berbahasa Hindi. Biarpun warga negara Britain, dia tetap menghargai bahasa nenek moyangnya yang berasal dari India.