RAWANG – Laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) membabitkan pasangan penyanyi, Adira Suhaimi dan suaminya Datuk Seri Adnan Abu gagal mencapai kata sepakat untuk berdamai berhubung proses penceraian mereka.
Dalam prosiding di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat hari ini, laporan JKP tersebut menyatakan kedua-dua pihak gagal berbaik selain berlaku shiqaq (perbalahan yang berpanjangan) terhadap pasangan tersebut.
Meskipun laporan JKP gagal, Adnan atau lebih dikenali sebagai Datuk Red, 43, kekal tidak mahu menceraikan isterinya manakala Adira tetap berpendirian untuk bercerai.
Justeru Hakim Syarie, Abdul Hadi Umar kemudian menetapkan 24 April ini supaya kes ke peringkat seterusnya iaitu hakam.
Semasa prosiding Datuk Red diwakili peguam syarie Muhammad Akmal Amzan manakala Adira diwakili peguam syarie Nor Saidah Zakaria.
Kedua-dua peguam syarie yang mewakili pasangan itu turut mengesahkan kes seterusnya ke peringkat hakam.
Sebelum ini semasa proses JKP itu, Datuk Red melantik rakannya sebagai wakil JKP manakala Adira atau nama sebenarnya Siti Adira Suhaimi, 33, selaku melantik kakaknya Emma Suhaimi bagi wakil JKP berkenaan.
Dalam proses perceraian, JKP terdiri daripada anggota keluarga yang rapat dengan pasangan terbabit bertujuan memberi nasihat dan mencari jalan penyelesaian dalam kemelut rumah tangga.
Sementara hakam dilantik apabila mahkamah berpuas hati syiqaq sentiasa berlaku dalam tempoh perkahwinan walaupun selepas usaha perdamaian dilakukan pada peringkat JKP.
Untuk rekod Adira memfailkan penceraian buat kali kedua dengan suaminya pada 25 Oktober tahun lalu selepas selepas mendakwa tidak lagi wujud persefahaman dalam perkahwinan mereka.
Adira berkata perpisahan merupakan satu-satunya jalan bagi menyelesaikan isu rumah tangga mereka. Pada 4 Disember tahun lalu, hadir di mahkamah di sini bagi proses (JKP).
Adira menamakan kakaknya, Emma dalam proses itu manakala Adnan gagal menampilkan sebarang wakil ketika itu.
Sebelum ini, Adira pernah memfailkan permohonan cerai terhadap Adnan di mahkamah sama pada 1 April 2019.
Bagaimanapun penyanyi berasal dari Sabah itu menarik semula permohonan dibuat bagi memberi peluang kedua kepada suami selain cuba berbaik demi anak-anak.
Permohonan tersebut dibuat mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.
Adira dan Datuk Red berkahwin di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015 sebagai isteri kedua.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Anggrek, 7, Asan, 6, Anggun, 5 dan Ayob yang kini berusia dua tahun. – KOSMO! ONLINE