PETALING JAYA – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Asyraf Wajdi Dusuki merayu ibu bapa atau penjaga pelajar yang mendapat tempat di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), tetapi berdepan kekangan kewangan agar tidak sesekali menolak tawaran ke institusi itu.
Katanya, Mara sedia membantu melalui pelbagai bantuan untuk memastikan pelajar daripada keluarga miskin dapat menikmati pembelajaran di MRSM dengan baik.
Asyraf Wajdi dalam hantaran di Facebooknya hari ini berkongsi kisah seorang pelajar yang terpaksa menolak tawaran masuk ke MRSM gara-gara keluarganya berdepan dengan masalah kewangan.
“Saya dapat perkhabaran seorang pelajar anak yatim dapat MRSM Johor Bharu. Mak dia hanya pembantu kedai makan dan terpaksa juga sara seorang lagi anak seorang OKU (orang kelainan upaya).
“Dia nak tolak tawaran MRSM kerana tak mampu nak sediakan pelbagai kos termasuk yuran, uniform, peralatan asrama dan lain-lain,” kongsinya yang turut menerima berita tersebut daripada kenalan di Facebook.
Menurut Asyraf Wajdi, dia telah mengarahkan semua pengetua dan pengurusan tertinggi MRSM mengenal pasti mana-mana calon yang berlatarkan keluarga susah untuk dibantu segera agar mereka tidak terlepas peluang menyambung pelajaran ke MRSM.
“Saya nak tekankan sekali lagi, harap jangan sesiapa yang tolak tawaran MRSM hanya kerana risau tak mampu bayar yuran atau menanggung pelbagai kos kelengkapan asrama dan MRSM.
“Sebagai langkah proaktif saya telahpun mengarahkan semua pengetua dan pengurusan tertinggi setiap MRSM untuk mula menghubungi dan telefon setiap pelajar yang menerima tawaran ke MRSM dan membantu pelajar-pelajar daripada keluarga yang susah, tidak berkemampuan.
“Insya-Allah, pihak Mara melalui skim bantuan pendidikan Mara (BUDI) akan bantu pelajar-pelajar daripada keluarga yang susah,” katanya.
Tambahnya, bantuan yang akan disalurkan termasuklah menampung pembayaran yuran persekolahan, pakaian sekolah, barangan keperluan harian, peralatan pembelajaran, tambang perjalanan cuti semesta dan keperluan peribadi untuk tinggal di asrama.
“Malah pihak Muafakat (PIBG) juga turut akan membantu pelajar-pelajar yang susah dan tidak berkemampuan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE