PUTRAJAYA – Lembaga Siasatan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan menjalankan siasatan melibatkan insiden helikopter terhempas di perairan Pulau Angsa, Klang yang dikendalikan agensi itu.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Datuk Kapten Norazman Mahmud, pihaknya mengesahkan helikopter model AW139 dikendalikan APMM terlibat nahas, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
“Empat penumpang termasuk juruterbang yang terlibat dalam insiden helikopter terhempas di perairan Pulau Angsa, Klang pagi tadi dilaporkan selamat selepas diselamatkan sebuah helikopter penyelamat tadi.
“Terdapat empat penumpang termasuk juruterbang berada dalam helikopter tersebut dan tiada kehilangan nyawa dilaporkan.
“Kesemua mangsa diselamatkan dengan helikopter penyelamat dan mendarat di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah pada pukul 10.58 pagi,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.
Kapten Norazman berkata, helikopter berkenaan telah berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, Selangor pada pukul 9.10 pagi bagi latihan penerbangan.
“Hubungan terakhir pesawat dengan pegawai kawalan trafik udara dilaporkan pada pukul 9.20 pagi, namun tiada panggilan kecemasan diterima.
“Pusat Koordinasi Menyelamat Aeronautika Kuala Lumpur (KLARCC) di Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) diaktifkan serta-merta untuk mengenal pasti lokasi helikopter,” katanya. – KOSMO! ONLINE