fbpx

DUN Selangor: RM30.2 juta dibelanja kawal sumber air di Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

SHAH ALAM – Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) telah membelanjakan sejumlah RM30.2 juta bagi pemantauan, kawalan dan penguatkuasaan di sepanjang kawasan sumber air serta sungai di negeri ini antara 2018 hingga tahun lalu.

Exco Infrastruktur dan Pertanian negeri, Izham Hashim berkata, perbelanjaan itu meliputi pengoperasian Skuad Pantas LUAS dan Operasi Pengepaman Air Kolam (OPAK).

“Peningkatan perbelanjaan bermula pada 2021 itu susulan keperluan penyediaan peruntukan bagi operasi Skuad Pantas yang membuat rondaan 24 jam di lembangan sungai strategik.

“Selain peruntukan kos bagi OPAK di Bestari Jaya, ia melibatkan pembangunan stesen telemetri, perolehan peralatan pemantauan dan kerja penyelenggaraan infrastruktur sumber air,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.

Terdahulu, Dr. Afif Bahardin (PN-Taman Medan) ingin mengetahui perbelanjaan LUAS sepanjang 2018 hingga 2023 dan kaedah bagi memastikan keterjaminan bekalan sumber air bersih di Selangor.

Izham merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pandan Indah memaklumkan, empat empangan utama negeri berada pada paras 100 peratus iaitu Empangan Sungai Selangor, Empangan Sungai Tinggi, Empangan Semenyih dan Empangan Tasik Subang.

“Dua lagi empangan melebihi kapasiti 90 peratus iaitu Empangan Sungai Langat dan Empangan Batu manakala Empangan Klang Gate pada paras 84 peratus.

“Semua empangan itu dilihat mampu membekalkan air selama enam bulan sekiranya tiada hujan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI