fbpx

DUN Melaka merafak sembah ucapan tahniah kepada Sultan Ibrahim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD. ALI pada perasmian Pembukaan Sidang Pertama Penggal Ketiga DUN Melaka Ke-15 di Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka.

MELAKA – Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka merafak sembah ucapan tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim sempena pelantikan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-17.

Ucapan tahniah itu disampaikan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam yang mewakili dewan, kerajaan negeri dan rakyat Melaka.

“Melalui dewan ini, saya mewakili dewan, kerajaan negeri dan rakyat Melaka mengambil kesempatan untuk menyembahkan setinggi-tinggi tahniah kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah sempena pelantikan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-17.

“Dewan ini yakin Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda akan mengurniakan segala kebaktian kepada negara dan negeri Melaka,” katanya dalam ucapan perasmian Pembukaan Sidang Pertama Penggal Ketiga DUN Melaka Ke-15 di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mohd. Ali turut menyembah menjunjung kasih dan penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong Ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Ke-16, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Beliau berkata, sepanjang pemerintahan baginda, Al-Sultan Abdullah telah berkenan memasyhurkan dua buah masjid iaitu Masjid Al-Sultan Abdullah di Masjid Tanah pada 2019 dan Masjid Ar-Razak Pasir Puteh di Bachang, tahun lalu.

“Baginda turut menyampaikan sumbangan kepada pelajar-pelajar Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) serta mencemar duli bertemu rakyat Melaka di bazar Ramadan.

“Sesungguhnya, kerajaan negeri dan seluruh rakyat Melaka menjunjung kasih atas jasa dan kasih sayang Kebawah Duli Tuanku kepada negeri ini,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI