KUALA LUMPUR – Seorang bayi berusia tiga bulan meninggal dunia selepas dipercayai tersedak susu pada hari pertama dihantar ke sebuah pusat asuhan di Setia Alam, semalam.
Datuk kepada mangsa yang mahu dikenali sebagai Kuswadinata berkata, keluarganya dihubungi pusat jagaan tersebut kira-kira pukul 10.30 pagi memaklumkan cucu lelakinya disahkan meninggal dunia selepas dihantar ke sebuah klinik berdekatan.
Menurutnya, ini kali pertama cucunya dihantar ke pusat asuhan tersebut malah telah diberi jaminan bahawa semua pengasuh merupakan terlatih dan berpengalaman memandangkan ibu bapanya bekerja.
“Cucu saya dihantar pukul 8.30 pagi ke rumah pengasuh itu sebelum anak saya dan isterinya pergi ke tempat kerja di Subang dan Setia Alam.
“Dalam pukul 10.30 pagi, pengasuh tersebut buat panggilan telefon memaklumkan cucu saya tidak sedarkan diri mungkin sebab tersedak susu,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.
Menurut Kuswadinata, pemeriksaan televisyen litar tertutup (CCTV) mendapati cucunya berada dalam keadaan tidak sedarkan diri sekitar pukul 9.40 pagi selain dibiarkan dalam keadaan meniarap sekitar 20 minit.
Bagaimanapun, katanya, rakaman video bagi tempoh masa pukul 10 pagi dan ke atas tiada dalam simpanan pusat asuhan tersebut atas alasan yang tidak diketahui.
“Saya rasa pelik kenapa dibawa ke klinik tanpa pengetahuan ahli keluarga terlebih dahulu. Selepas disahkan tidak bernyawa di klinik tersebut, baru maklum keluarga, kenapa tidak maklum lebih awal dan apa yang terjadi di taska itu sebenarnya?
“Pihak taska sudah membuat permohonan maaf tapi kami sekeluarga memang tidak puas hati dan marah. Kalau lihat CCTV kemungkinan untuk diselamatkan itu ada kalau pengasuh betul-betul jaga dia.
“Bila saya angkat sahaja cucu, penuh satu badan dia dengan bancuhan air susu, sedih cucu pertama saya diperlakukan begini. Kami bukan hantar budak sakit tapi sihat sepenuhnya,” katanya.
Tambahnya lagi, bedah siasat punca kematian cucunya sedang dilakukan di Hospital Shah Alam dan akan dibawa pulang ke Kota Bharu, Kelantan untuk proses pengebumian.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner, Mohd Iqbal Ibrahim ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan pihaknya menjalankan siasatan tentang kes tersebut.
“Kes disiasat di bawah seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak kerana kecuaian/ pengabaian oleh pengasuh,” katanya. – KOSMO! ONLINE.