PETALING JAYA – Seorang bapa menuntut ganti rugi RM3 juta daripada sebuah universiti selepas anak perempuan bongsunya meninggal dunia akibat renjatan elektrik di bilik asrama sebuah universiti di Kedah, dua tahun lalu.
Berdasarkan dokumen yang diperoleh, tuntutan itu dibuat lelaki yang berusia 55 tahun selaku plaintif menerusi firma guaman, Tetuan M. Manoharan & Co di Mahkamah Tinggi Alor Setar 28 Februari lalu dengan menamakan universiti itu sebagai defendan tunggal.
Mengikut penyataan tuntutan difailkan bersama writ berkenaan, bapa mangsa berkata anaknya itu ditemui terbaring tidak bernyawa di lantai bilik berkenaan pada 21 Mei 2022.
Katanya, berikutan kejadian itu satu siasatan dibuat polis dan bedah siasat dijalankan pegawai perubatan ke atas mayat pelajar itu untuk menentukan punca kematian.
“Pemeriksaan bedah siasat menyimpulkan bahawa punca kematian adalah renjatan elektrik. Selanjutnya, Mahkamah Sesyen Alor Setar bertindak di bawah Seksyen 333 Kanun Tatacara Jenayah memastikan bahawa renjatan elektrik adalah punca kematian perempuan berkenaan.
“Perkara ini disahkan dalam surat bertarikh 1 Februari 2023 daripada Timbalan Pendaftar Mahkamah Sesyen Alor Setar kepada plaintif,” katanya.
Mengulas lanjut dalam pernyataan tuntutan itu, plaintif berkata, defendan bertanggungjawab untuk memastikan keselamatan anaknya itu daripada tidak terkena renjatan elektrik di bilik berkenaan.
“Plaintif menyatakan bahawa defendan sebagai pemilik asrama itu mempunyai kewajipan berkanun kepada semua penghuninya yang sah di bawah peruntukan Akta Bekalan Elektrik 1990 dan Peraturan-Peraturan Elektrik 1994 untuk menyenggara elektrik.
“Melanggar kewajipan berjaga-jaga dan berkanunnya, defendan gagal memastikan pelajar selamat daripada terkena renjatan elektrik dan gagal menyelenggara pemasangan elektrik secara betul hingga menyebabkan anaknya terkena renjatan yang mengakibatkan kematiannya,” katanya.
Sementara itu mengenai butiran keingkaran kecuaian, plaintif berkata, defendan gagal mengambil langkah penjagaan munasabah untuk memastikan mangsa adalah semunasabahnya selamat ketika menggunakan bilik itu khususnya memastikan penggunaan yang selamat bagi kelengkapan serta peralatan elektrik di dalamnya.
Defendan juga didakwa gagal mengambil mana-mana langkah penjagaan munasabah untuk mengelakkan kecederaan, kerosakan atau kematian daripada renjatan elektrik.
“Menyebabkan atau membenarkan peralatan elektrik khususnya lampu dinding atau peralatan lain yang rosak dalam bilik berkenaan menjadi dan kekal dalam keadaan rosak serta berbahaya.
“Kegagalan untuk menggantikan atau membaiki lampu dinding elektrik atau peralatan lain yang rosak, selain mengambil langkah yang munasabah untuk menjadikan perkakas itu selamat digunakan.
“Gagal mengambil langkah mencukupi sama ada melalui pemeriksaan berkala untuk memastikan pemasangan elektrik berada dalam keadaan yang secara munasabah adalah selamat, tidak rosak atau berbahaya,” katanya. – KOSMO! ONLINE