PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempat bersemuka dengan 18 syarikat utama Australia semasa sesi persidangan meja bulat bersama kapten industri, hari ini.
Antara beberapa pemain utama yang ditemui antaranya termasuklah Fortescue, Lynas Rare Earths, Macquarie Group, NextDC Ltd, The Arnott’s Group dan Airtrunk.
Ujarnya, beliau sempat menyatakan kekukuhan kerajaan sejak setahun lalu yang menjadi faktor utama dalam menarik minat pelabur untuk datang ke Malaysia.
“Kesempatan itu juga saya gunakan bagi menzahirkan penghargaan terhadap sokongan yang ditunjukkan kepada Malaysia.
“Sementelahan, saya turut memaklumkan bahawa Malaysia kekal terbuka dan menjamin peluang pelaburan yang progresif bagi pelabur-pelabur dari Australia.
“Justeru komitmen para pelabur termasuk dari Australia adalah dialu-alukan untuk meningkatkan pelaburan di Malaysia pada ketika ini dan masa mendatang,” tulisnya dalam hantaran di Facebook.
Terdahulu Kosmo! melaporkan, Anwar selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Melbourne, Ahad lalu sempena lawatan rasmi ke Australia.
Anwar yang juga Menteri Kewangan akan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Pemimpin Tahunan Malaysia-Australia dan Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia.
Dalam hantaran di Facebook, Anwar berkata, lawatan sulungnya itu juga dibuat atas jemputan rakan sejawat, Anthony Albanese.
Semasa lawatan itu juga, beliau akan mengadakan perbincangan meja bulat dan juga secara langsung dengan ketua-ketua industri di Melbourne, sebelum ke Canberra pada hari terakhir lawatan pada Jumaat ini. – KOSMO! ONLINE