fbpx

2.9 juta pengunjung Jualan Agro Madani, nilai penjimatan RM27.8 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Program Jualan Agro Madani yang dilancarkan pada April tahun lalu merekodkan sebanyak 2.9 juta pengunjung sehingga 31 Disember 2023.

Timbalan Menteri Pertanian Dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, inisiatif itu turut mencatatkan penglibatan 74,800 usahawan dengan nilai jualan RM93.74 juta.

Sehingga 31 Disember 2023, sebanyak 5,608 program Jualan Agro Madani telah berjaya dilaksanakan melebihi sasaran yang ditetapkan iaitu 5,000 lokasi dan berjaya mencatatkan 2.9 juta pengunjung di sepanjang penganjuran tersebut.

“Impaknya kepada masyarakat umum, program ini berjaya memberikan penjimatan harga barangan sebanyak RM27.8 juta kepada lebih kurang 11.6 juta isi rumah di seluruh negara,” katanya pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (BN-Sembrong) sejauh manakah program tersebut mampu dilaksanakan secara meluas dan berterusan.

Arthur seterusnya berkata, pada tahun 2024, Kementerian Pertanian Dan Keterjaminan Makanan menyasarkan untuk melaksanakan sebanyak 5,000 program Jualan Agro Madani untuk mencapai sasaran keseluruhan sebanyak 10,000 bagi tempoh 2023 hingga 2024.

Terdahulu, beliau menerangkan, program Jualan Agro Madani berkonsepkan jualan dari ladang oleh petani serta pengeluar produk agromakanan terus kepada pengguna tanpa melalui orang tengah.

Menurut beliau, mekanisme itu dapat menurunkan harga barangan asas daripada 10 hingga 30 peratus lebih murah berbanding pasaran dan secara langsung memberi penjimatan kepada pengguna.

“Pelaksanaan program Jualan Agro Madani secara berterusan mencerminkan tekad Kerajaan Perpaduan dalam menangani isu kos sara hidup bagi memastikan bekalan makanan sentiasa mencukupi dan tersedia buat seluruh rakyat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI