PETALING JAYA – Usahawan dan personaliti media sosial, Hafiz Mahamad mendedahkan bahawa tujuan berkongsi video membantu beberapa wanita mencium hajarulaswad hanyalah untuk kenangan bersama pasukannya.
Katanya, tidak terdetik dihati untuk berbangga atau riak dengan kesempatan berada di bumi suci itu bersama yang lain.
“Niat saya sebenarnya bila saya share (kongsi) video itu bukan nak riak atau takbur, tetapi Alhamdulilah, Allah jemput saya ke sini sudah lebih tujuh kali.
“Itu pun bersama team (pasukan) saya dan setiap tahun saya akan bawa staf saya ke sini (Mekah). Team saya bukan orang senang, semua orang susah untuk sampai ke sini.
“Maafkan saya kalau video saya itu mewujudkan banyak persepsi. Video itu adalah kenangan untuk saya dan team,” katanya di laman Instagram.
Menurut Hafiz, sebelum berkongsi video itu juga, dia sudah memohon pendapat beberapa orang.
“Bila saya share video tu, ramai yang DM saya semuanya positif, ada yang tengok teringin nak pergi,” ujarnya.
Tambahnya, video tersebut juga dirakam selepas dia dan pekerja-pekerjanya selesai mengejarkan perkara wajib terlebih dahulu sebelum sunat.
Bagaimanapun dia telah bertindak memadam semua video itu menjaga keharmonian di media sosial.
Terdahulu Kosmo! melaporkan, video berdurasi lebih dua minit yang tular itu memaparkan Hafiz terpaksa menolak dan menjerit kepada jemaah lain untuk memberi laluan kepada beberapa jemaah wanita yang dibawa bersamanya untuk mencium hajarulaswad.
Sehubungan itu, rata-rata ramai mengecam tindakan lelaki itu yang dikatakan hanya berbuat demikian semata-mata untuk ‘content’ (kandungan). – KOSMO! ONLINE