REMBAU – Rutin harian seorang penduduk untuk memberi makan kepada ternakan ayamnya dikejutkan dengan seekor ular sawa kekenyangan dalam reban di Kampung Nerasau, di sini, pagi tadi.
Penduduk berkenaan, Famy Ibrahim, 55, berkata, kejadian kali pertama berlaku itu disedarinya kira-kira pukul 7.50 pagi dan dia segera menghubungi pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bagi menangkap reptilia berkenaan.
“Ini kejadian kali pertama sejak saya bela ayam dari tahun 2000. Kini ternakan ayam saya sudah mencecah sebanyak 50 ekor. Ular sawa itu pun dah telan empat ekor ayam saya dan sudah pun kekenyangan.
“Tak lama selepas hubungi APM, mereka datang menangkap ular yang saya anggarkan seberat lebih 20 kilogram dan sepanjang lebih tiga meter,” katanya, di sini, hari ini. – KOSMO! ONLINE