PETALING JAYA – Teka-teki radio pilihan Tyzo akhirnya terjawab apabila dia mengumumkan menyertai IKIMfm sebagai penyampai segmen Inspirasi pagi sebentar tadi.
Tyzo atau nama sebenarnya, Tuah Zolqarnain Idris akan mula bertugas secara rasmi di stesen radio berkenaan pada 11 Mac ini.
Pemenang Penyampai Radio Terbaik Anugerah Bintang Popular ke-35 itu berkata, dia bersedia untuk tampil sebagai penyampai di IKIMfm dengan membawa sisi berbeza yang tidak pernah ditonjolkan sebelum ini.
“Walaupun IKIMfm mengetengahkan genre sedikit berbeza dengan stesen-stesen radio yang pernah saya kerja sebelum ini, namun pengalaman 21 tahun dalam dunia penyiaran radio memberi keyakinan kepada saya untuk berikan yang terbaik kepada pendengar.
“Selama ini saya memang lebih ke hiburan dan pendengar IKIMfm pun perlukan hiburan tetapi dengan cara lebih sederhana.
“Mungkin dengan adanya saya di sini peminat saya akan mendengar sesuatu yang lebih baik dan mengubah hidup mereka,” katanya yang ditemui sebentar tadi.
Dalam pada itu, Tyzo mendedahkan dia menerima empat tawaran daripada stesen radio berbeza tetapi memilih IKIMfm kerana sokongan penuh yang diterima daripada stesen radio Islamik ini.
“Saya telah berbincang dengan pihak IKIMfm sebelum saya tunaikan umrah, apabila berada di sana Allah gerakkan hati saya untuk menerima tawaran daripada mereka.
“Bukan soal bayaran tinggi tetapi saya rasa dihargai dan dialu-alukan untuk bersama stesen ini. Selain saya mahu menggunakan bakat yang ada untuk membawa lebih kebaikan,” kongsi Tyzo lagi.
Sementara itu, Tyzo juga percaya setiap ujian yang berlaku dalam hidupnya telah mematangkannya dan memberi hikmah yang luar biasa.
“Sejujurnya saya sangka kerjaya saya sebagai penyampai radio sudah habis, mungkin saya tiada kerja.
“Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. Kehidupan saya berubah sebaliknya apabila sekarang mendapat peluang menjadi pengacara televisyen dan pelbagai tawaran kerja lain,” ujar Tyzo.
Tyzo akan bergandingan dengan Suffian Amrin dan Luqman Hakim mengendalikan segmen Inspirasi Pagi di stesen berkenaan setiap Isnin hingga Jumaat, pukul 6 pagi sehingga 10 pagi. – KOSMO! ONLINE