PERTANIAN merupakan bidang yang wajar diterokai oleh generasi muda agar industri itu terus berkembang, sekali gus dapat memastikan keterjaminan makanan negara.
Kini, pertanian juga menjadi semakin mudah dengan wujudnya pelbagai cara penanaman moden seperti kaedah hidroponik.
Oleh yang demikian, bagi menggalakkan generasi muda untuk menerokai bidang pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM) melalui Program Inkubator Pembangunan Belia Tani (Probest) telah berjaya menuai hasil tanaman rock melon menggunakan kaedah hidroponik.
Untuk makluman, hidroponik adalah kaedah penanaman dengan meletakkan akar pokok dalam air baja dan tanpa menggunakan tanah.
Kaedah hidroponik itu telah diaplikasikan oleh 10 pelajar yang menyertai Probest dengan mengusahakan tanaman buah-buahan.
Naib Canselor UPM, Datuk Prof. Dr. Ahmad Farhan Mohd. Sadullah berkata, pelajar Probest yang mengikuti Modul Tanaman Rock Melon telah mempelajari kaedah hidroponik secara praktikal.
Ujarnya, menerusi kaedah itu, mereka dapat menghasilkan makanan harian di bandar dan berjaya meraih keuntungan hasil penjualan rock melon.
“Usaha ini seiring dengan hasrat perdana menteri untuk menggalakkan pertanian bandar.
“Saya sangat gembira program ini telah dilaksanakan sebagai strategi memanfaatkan kawasan lapang bagi tujuan keterjaminan makanan.
“Ia dijayakan dengan dana yang disalurkan oleh Agrobank Centre of Excellence (ACE),” katanya.
Dalam pada itu, pelajar tahun dua, Ijazah Sarjana Muda Sains Perniagaan Tani dengan Kepujian, Fakulti Pertanian, UPM, Muhammad Hakimi Zarapi berkata, program itu telah melatih dirinya untuk menjadi seorang usahawan pertanian.
Menurutnya, dia sangat bersyukur apabila dapat mempelajari kaedah hidroponik bagi penanaman rock melon kerana kaedah itu jarang digunakan bagi penghasilan buah kerana kosnya agak tinggi.
“Kaedah hidroponik ini mempunyai banyak kelebihannya dan menjimatkan kos pembelian baja, selain tersusun dengan lebih kemas serta teratur.
“Tamat sahaja Probest, saya ingin mengaplikasikan kaedah hidroponik di kampung halaman saya,” jelasnya.
Program itu juga mendapat sokongan pendanaan daripada Bank Pertanian Malaysia (Agrobank) dan Takaful Malaysia melalui dana wakaf dan WAZAN UPM.
Sementara itu, pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat UPM, Mohammad Zakariya Minsuri menjelaskan, minatnya dalam pertanian telah mendorongnya untuk menyertai Probest.
Ujarnya, tujuan utamanya menyertai Probest adalah untuk mendapatkan ilmu pertanian dan keusahawanan.
“Tamat sahaja Probest saya ingin mengusahakan kebun dan menjadi seorang usahawan pertanian dengan mengaplikasikan internet benda (IOT) yang telah dipelajari.
“Walaupun saya pelajar sains komputer dan teknologi maklumat, namun ia bukanlah penghalang untuk turut menceburi bidang pertanian yang sangat luas ini.
“Saya bercita-cita ingin membantu semua petani di luar sana mengusahakan ladang mereka menggunakan IOT dengan harga lebih murah pada satu hari nanti,” terangnya.