fbpx

Sera impi jadi usahawan lalat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SERA menerima anugerah daripada hasil usahanya dalam penternakan lalat BSF untuk ladang penternakan.

SETIAP mahasiswa ada jalan cerita dan prinsip yang dipegang erat dalam usaha mencapai impian mereka bergelar graduan berjaya.

Begitu juga dengan anak bongsu daripada tiga beradik ini yang merupakan siswa tahun ketiga jurusan bioteknologi di Fakulti Sains, Universiti Malaya (UM).

Selain aktif di kampus, Aisyah Maisarah Abd. Razak, 22, terlebih dahulu berjinak-jinak dalam dunia keusahawanan sejak berumur lapan tahun.

Buktinya, biarpun sibuk dengan pengajian dan jadual begitu ketat, namun dia sempat menguruskan lima jenis perniagaan pada masa lapang.

“Sejak kehilangan arwah ayah pada tahun 2013, kami sekeluarga sudah biasa melakukan pelbagai kerja untuk mencari pendapatan tambahan.

“Disebabkan pandemik Covid-19, saya dan ibu mula mengusahakan perniagaan bakeri secara kecil-kecilan di rumah.

“Kami mendapat banyak tempahan kek ‘brownies’ dan roti daripada warga setempat ketika itu yang tidak dapat keluar rumah kerana Perintah Kawalan Pergerakan.

“Kemudian, saya mula membekalkan produk bakeri ke kedai-kedai di kolej kediaman dalam UM,” katanya memulakan mukadimah bersama iGen.

Jelas Aisyah Maisarah atau lebih mesra dengan panggilan Sera itu, dia sememangnya komited dalam mengejar cita-citanya menjadi seorang usahawan sehingga memberi impak kepada pemilihan kursus pengajiannya di UM.

“Saya memilih jurusan bioteknologi kerana setelah membuat pembacaan, bidang ini yang paling berpotensi untuk saya aplikasi apabila menjadi usahawan berbanding cabang jurusan sains lain.

“Melalui silibus bidang bioteknologi, saya berpeluang membangunkan produk saya sendiri untuk dipasarkan kelak,” katanya.

SERA merupakan pelajar tahun ketiga jurusan bioteknologi di Fakulti Sains, UM.

Dia mengimpikan produk pertamanya berkemungkinan besar berkisar kepada satu spesies lalat istimewa, black soldier fly (BSF).

“BSF adalah spesies yang menarik kerana pada fasa larvanya, serangga ini mampu memakan sehingga berkali ganda saiz badannya dalam masa amat singkat.

“Ini menjadikannya sumber protein yang sangat baik untuk pemakanan haiwan ternakan seperti ayam, itik, ikan dan haiwan peliharaan, termasuklah haiwan eksotik.

“Menariknya, larva BSF ini akan memakan apa sahaja sisa organik, termasuklah sisa makanan.

“Ini menjadikannya satu penyelesaian yang mampan untuk masalah pengurusan sisa yang kita hadapi ketika ini, terutamanya pembaziran makanan yang kritikal di Malaysia,” katanya.

Gadis kelahiran Cheras, Kuala Lumpur yang juga penerima biasiswa Yayasan Tunku Abdul Rahman itu berkata, BSF berbeza dengan spesies lalat biasa.

Lalat biasa menghurung sampah-sarap dan membawa penyakit, sementara BSF bukanlah vektor penyakit atau serangga perosak.

Sebaliknya, ia dikenali sebagai ejen pengurai sisa organik.

“Ini membolehkan larva BSF digunakan sebagai pencerna sisa makanan kita, di samping menjadi makanan haiwan ternakan yang selamat.

“Sisa buangan atau frass larva ini pula boleh digunakan sebagai baja tanaman.

“Sebagai seorang usahawan sosial, saya sangat teruja apabila menyedari idea ini boleh diadaptasikan secara besar-besaran di kampus universiti.

“Ia satu ekosistem ekonomi kitaran kerana UM mempunyai lebih 20 kafeteria, selain memiliki ladang haiwan ternakan sendiri,” tambahnya.

Sera mengakui, minatnya dalam perusahaan larva BSF dicetuskan oleh penyelidik di Institut Sains Biologi (ISB), Fakulti Sains UM, Dr. Norhidayah Mohd. Taufek yang memfokuskan penyelidikannya dalam ekosistem BSF dan impaknya kepada alam sekitar.

“Di bawah seliaan Dr. Norhidayah, kami sedang mengusahakan untuk membina sebuah perusahaan sosial (social enterprise) BSF di Ladang Mini ISB yang terletak di UM.

“Selain proses membiak larva BSF untuk kegunaan makanan haiwan ternakan di ladang ini, kami juga bercita-cita untuk mempromosikan kit ternakan BSF kepada sekolah dan universiti lain.

“Saya pasti pengalaman menerokai keseluruhan proses daripada pembiakan sehingga ke pemasaran larva BSF mampu mempersiapkan saya menjadi seorang usahawan berjaya pada satu hari nanti,” katanya sebelum menutup bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI