PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) meneruskan pelaksanaan minggu pertama persekolahan tanpa proses pembelajaran bagi sesi 2024/2025 yang akan bermula pada Ahad dan Isnin ini.
Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan berkata, minggu pertama itu bakal diisi dengan pelbagai program serta aktiviti bagi mewujudkan suasana yang menyeronokkan dalam kalangan murid.
“Ini merupakan tahun kedua kita laksanakan pendekatan ini yang mana pada minggu pertama sesi persekolahan tiada proses pembelajaran di dalam bilik darjah, tetapi kita jalankan program-program yang libatkan murid dan guru termasuk ibu bapa.
“Kita mahu menarik minat anak-anak untuk hadir ke sekolah supaya mereka dapat melalui ekosistem pembelajaran dan selepas itu pada minggu berikutnya mereka hadir dengan rasa yang menyeronokkan,” katanya menerusi sidang akhbar selepas menyampaikan amanat sempena pembukaan sesi persekolahan 2024/2025 di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau turut meminta semua peringkat pengurusan tertinggi, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) memastikan kelancaran minggu pertama persekolahan diurus dengan baik termasuk kesiap siagaan dari segi infrastruktur.
Menurutnya, pada permulaan sesi persekolahan kali ini, hari kedua atau ketiga telah pun bermula bulan Ramadan, maka kebijaksanaan barisan pentadbir di sekolah sangat dituntut untuk menyesuaikan aktiviti minggu pertama tersebut. – KOSMO! ONLINE