SABAK BERNAM – Kehilangan seorang remaja perempuan sejak Ahad lalu terjawab apabila mayatnya ditemui dalam parit di Kilometer (KM) 54 Jalan Klang-Teluk Intan, Sungai Haji Dorani di sini, semalam.
Lebih memilukan, badan mayat mangsa berusia 17 tahun itu dikatakan sudah reput dan ditemui bersama motosikal Yamaha Y15ZR kira-kira pukul 11.15 pagi oleh seorang peniaga yang melalui lokasi tersebut.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd. Alias berkata, semakan mendapati keluarga mangsa tampil membuat laporan polis berhubung kehilangannya pada Selasa lalu.
Katanya, siasatan mendapati remaja itu keluar rumah untuk mengambil duit gaji di sebuah kafe di Sungai Air Tawar, kira-kira pukul 10.10 malam pada 25 Februari lalu.
“Mangsa menunggang motosikal milik kakaknya sebelum gagal dihubungi ahli keluarga dan kemudian ditemui orang awam yang segera menghubungi pihak berkuasa bagi tindakan lanjut,” katanya.
Tambah Agus Salim, siasatan awal mendapati mangsa yang datang dari arah Sekinchan dipercayai hilang kawalan dan terjunam ke dalam parit serta disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sabak Bernam bagi bedah siasat dan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” jelasnya. – KOSMO!ONLINE