PETALING JAYA – Orang ramai menggesa bakal peniaga bazar Ramadan supaya mementingkan kebersihan dan kualiti makanan yang dijual sekali gus tidak memikirkan keuntungan semata-mata.
Menerusi tinjauan Kosmo! di media sosial, ramai yang memberikan nasihat berguna sebagai ingatan kepada peniaga bazar Ramadan pada tahun ini, malah ada juga mendoakan mereka diperluaskan rezeki.
“Masak sedap-sedap dengan penuh kasih sayang. Masak dengan ikhlas, jangan nak duit semata-mata,” nasihat seorang pengguna Facebook.
“Berniaga dengan jujur dan ikhlas, bertolak dengan pelanggan. Insya-Allah rezeki berkat, ” kata seorang pengguna yang lain.
“Masak dengan ikhlas, lauk basi jangan jual. Kasihan orang yang puasa,” komen pengguna media sosial.
“Jangan lupa pendekkan semua kuku jari tangan. Jaga kebersihan diri, jaga kebersihan tempat berniaga. Kadang-kadang masa tunggu makanan kita dibungkus, nampak benda tak sedap mata memandang,” nasihat seorang lagi pengguna.
“Tunjukkan sikap yang baik, jangan sengaja tunjuk kita makan, minum atau merokok walaupun kita tak puasa. Moga dipermudahkan urusan dunia dan akhirat,” komen yang lain. – KOSMO! ONLINE