fbpx

Pengambilan pekerja asing sektor pembinaan wajar diurus CLAB – Ahmad Maslan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AHMAD (tengah) bersama Abdul Rafik (dua dari kiri) pada sambutan ulang tahun ke-20 CLAB di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan mencadangkan agar pengambilan pekerja asing dalam sektor pembinaan diuruskan sepenuhnya oleh Construction Labour Exchange Centre Berhad (CLAB), iaitu organisasi yang ditubuhkan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

Jelasnya, dengan pengurusan pengambilan pekerja binaan asing secara berpusat menerusi satu agensi, ia dapat menyelesaikan pelbagai isu termasuk lambakan pekerja asing dalam industri pembinaan, isu buruh paksa dan penindasan serta soal kebajikan golongan berkenaan.

“Kini dianggarkan terdapat 600,000 pekerja binaan asing di negara ini, melebihi keperluan industri yang pada sekitar 500,000 orang.

“Selain soal pengambilan pekerja, CLAB juga boleh menguruskan pertukaran pekerja daripada majikan yang tidak lagi memerlukan kepada majikan baharu termasuk di sektor lain, seterusnya mengekalkan pekerja berpengalaman serta berkemahiran di negara ini berbanding mengambil pekerja baharu.

“Saya berharap dua kementerian berkaitan iaitu Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) dapat mempertimbangkan cadangan ini,” katanya pada sidang akhbar sempena sambutan ulang tahun ke-20 CLAB di sini, hari ini.

Sejak 2004, CLAB telah menguruskan sebanyak 221,665 pekerja binaan asing. Badan berkenaan turut mengadakan temuduga pekerja di negara asal mereka, menyediakan tempat tinggal, pemantauan gaji serta menjaga kebajikan pekerja.

Menurut Ahmad, soal monopoli tidak berbangkit kerana CLAB hanya dicadangkan supaya mengurus pekerja asing dalam sektor pembinaan, sedangkan terdapat banyak lagi sektor yang menggunakan pekerja asing di negara ini seperti pembuatan dan perladangan.

Jelasnya, sekiranya cadangan itu tidak boleh dilaksanakan, cadangan kedua adalah supaya semua pekerja asing dalam sektor pembinaan dibawah kontrak kerajaan diuruskan oleh CLAB.

“Ia melibatkan projek membina jalan, bangunan, jambatan dan cerun dibawah kontrak kerajaan dibawah perbelanjaan pembangunan (DE) dengan peruntukan sebanyak RM90 bilion tahun ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai CLAB, Abdul Rafik Abdul Rajis berkata, selain mengurus pengambilan dan pertukaran pekerja binaan asing, pihaknya juga sedang menyelusuri beberapa usaha sama dalam penyediaan Pusat Penginapan Pekerja Berpusat di Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

“Bagi memastikan pekerja binaan yang disediakan berupaya menjalankan kerja-kerja mengikut keperluan majikan, CLAB turut mengadakan temuduga dan ujian fizikal terhadap pekerja binaan asing termasuk mengangkat besi, memotong kayu, juga ujian kecergasan yang lain,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI