fbpx

Penat melampau, Aisha Retno kena ‘panic attack’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PERTAMA kali ke pentas AJL, Aisha Retno pulang dengan trofi Persembahan Terbaik AJL38.

KUALA LUMPUR – Penyanyi Aisha Retno mengakui berdepan serangan panik selepas menyempurnakan persembahan ‘terbang’ pada Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL38) yang berlangsung, malam tadi.

Pemilik nama lengkap Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam, 23, itu berkata, keletihan membuat persiapan menghadapi malam kemuncak itu mungkin menjadi faktor yang mencetuskan situasi tidak dijangka.

“Kita tak tahu apa yang berlaku kepada tubuh badan kita. Mungkin juga saya kepenatan, jadi apabila Allah cakap sesuatu akan berlaku, perkara itu akan berlaku.

“Alhamdulillah situasi itu terkawal dan saya bersyukur segala-gala persediaan yang dibuat sebaik Sutera diumumkan layak ke AJL 38 berjalan lancar.

“Ikutkan memang sepanjang tempoh tiga bulan sejak pengumuman barisan finalis masa saya padat, tetapi saya dapat bantuan pasukan yang cekap,” katanya ketika ditemui selepas AJL, 38 di Axiata Arena, malam tadi.

Pada masa yang sama, pemenang tempat kedua AJL 38 menerusi lagu Sutera itu turut berkongsi perasaan bangga dapat sebaris dengan dua idolanya iaitu Amir Jahari dan Aina Abdul.

“Amir dan Aina adalah idola saya. Saya bangga dapat bersama mereka, apatah lagi ini kali pertama saya berada di AJL dan akhirnya menyandang gelaran naib juara.

“Kalau ada rezeki lagi selepas ini, saya memang nak sertai AJL lagi pada edisi akan datang,” ujarnya.

Aksi Aisha yang memilih konsep Puteri Jawa ilham bersama ibunya, Jean Retno Aryani memukau penonton apabila ‘terbang’ setinggi 30 kaki menggunakan kabel pada penutup persembahan.

Menurut penyanyi itu, dia tidak gemuruh berada dalam posisi ‘melayang’ kerana menyukai ketinggian, namun kurang selesa terhadap kelajuan.

“Saya suka tempat tinggi, tapi tak suka dengan kelajuan. Apabila dimaklumkan pasukan produksi mereka akan tarik saya sampai ‘hilang’ (tinggi dari sudut kamera), saya cuma cakap jangan tarik laju-laju.

“Ini satu pengalaman yang sangat istimewa malah saya sangat menyukai konsep ini ,” katanya yang juga pencipta Sutera bersama komposer MFMF.

Persembahan yang mendapat ‘standing ovation’ itu melayakkannya diangkat sebagai pemenang Persembahan Terbaik dengan hadiah wang tunai berjumlah RM12,000.

Bagi kemenangan sebagai Naib Juara pula, Aisha layak membawa pulang wang tunai sebanyak RM50,000 bersama trofi.

Dalam pertandingan yang menyaksikan 12 lagu berentap, Hasrat nyanyian dan ciptaan Amir Jahari diumumkan juara, manakala Jangan Mati Rasa Itu dengan dan gubahan Aina Abdul menduduki tangga ketiga. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI