LUMUT – Terminal Maritim Lumut 2 (LMT2) milik anak syarikat kerajaan Perak, Lumut Maritime Terminal Sdn. Bhd. (Lumut Port), disasar mengendalikan tujuh juta tan metrik kargo apabila beroperasi sepenuhnya pada 2026.
Projek tersebut yang diyakini menjadi pemangkin dalam memperluaskan potensi Lumut sebagai pengendali terminal kargo pukal paling efisien di Asia Tenggara, mampu mencipta kira-kira 500 peluang pekerjaan serta membuka rangkaian operasi pembekal dan perniagaan dalam industri maritim.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata pembangunan LMT2 akan dapat meningkatkan kecekapan operasi dan kapasiti dalam pengendalian kargo mineral pukal bagi memenuhi permintaan global yang tinggi, secara tidak langsung merangsang pertumbuhan industri hiliran berasaskan mineral di Perak.
“LMT2 dijangka mula beroperasi pada Ogos tahun depan dan mampu membenarkan kapal seberat 50,000 tan berlabuh berikutan kedalaman airnya 12 meter,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan majlis pecah tanah LMT2 di Batu Undan, Segari dekat sini hari ini.
Menurut Saarani, LMT2 akan mengendalikan muatan berasaskan mineral seperti batu kapur serta pasir silika, berbeza dengan LMT1 yang mengendalikan 5.5 juta tan metrik kargo pukal dengan kapal dibenarkan berlabuh 30,000 meter tan berasaskan kedalaman 10 meter air.
Beliau menjelaskan pembinaan LMT2 di kawasan seluas 50 hektar itu selaras dengan rancangan perniagaan strategik 10 tahun Lumut Port melibatkan perbelanjaan RM362 juta untuk tempoh 2016-2026.
Dalam perkembangan berbeza, Saarani yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak memaklumkan, pihaknya sentiasa bersedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan pilihan raya termasuk Pilihan Raya Kecil (PRK) di Bukit Gantang dan Kuala Kangsar, walaupun tidak menjangka ia akan berlaku dalam tempoh terdekat.
Kelmarin, Bersatu meluluskan Perkara 10 perlembagaan parti itu selepas mendapat sokongan 1,956 perwakilan yang hadir pada EGM di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Selayang.
Pindaan perlembagaan itu dibuat susulan tindakan enam Ahli Parlimen Bersatu yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.
Ia melibatkan Syed Abu Hussin; Datuk Dr. Suhaili Abdul Rahman (Labuan); Zahari Kechik (Jeli); Mohd. Azizi Abu Naim (Gua Musang); Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr. Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang). – KOSMO! ONLINE